KDN teliti skim perkhidmatan baharu AKPS - Shamsul Anuar
Bernama
November 19, 2024 22:40 MYT
November 19, 2024 22:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti skim perkhidmatan baharu bagi petugas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebelum dimuktamadkan dan diluluskan agensi pusat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ketika ini dijangkakan sejumlah 13,000 perjawatan daripada jabatan dan agensi lain sedang dipindah butir ke AKPS.
Beliau berkata bagi fasa pertama pengoperasian AKPS kesemua pegawai akan ditempatkan secara cadre dan mereka akan diberikan pilihan untuk menukar lantikan ke skim perkhidmatan AKPS yang baharu.
"Oleh itu, KDN dalam proses mengkaji skim perkhidmatan (baharu) AKPS sebelum dikemukakan dan dimuktamadkan agensi pusat," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sebanyak RM560 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 kepada AKPS merangkumi tujuan penambahbaikan, pembangunan fasiliti dan kemudahan serta pembelian aset selain RM23 juta bagi pembaikan ibu pejabat agensi itu.
Selain itu, Shamsul Anuar berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan 1,474 program pendidikan pencegahan dadah di seluruh negara yang meliputi semua lapisan masyarakat terutama golongan muda.
Beliau berkata program berkenaan membabitkan Intelek Asuhan Rohani (PINTAR 2.0), Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS), Tempat Kerja Bebas Dadah, Program Smart (Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab) dan pelbagai kempen kesedaran awam.
"Hingga Ogos 2024, kadar pemulihan klien meningkat ke tahap 78 peratus berbanding 75 peratus pada 2023. Kita juga sedang tingkatkan lagi usaha untuk mencapai tahap dadah terkawal menjelang tahun 2025.
"AADK juga sentiasa memantau klien yang telah tamat pemulihan dan rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) selama dua tahun bagi mengenal pasti klien pascapulih yang berjaya kekal pulih dan berisiko kembali menagih," katanya
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 550,581 dokumen pengenalan diri dilaporkan hilang bagi tempoh 2023 hingga 2024 merangkumi 547,276 bagi MyKad, 3,044 dokumen MyPR manakala 261 Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas).
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM19,453,383,900 yang diperuntukkan kepada KDN dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 23 Ahli Parlimen.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA