KDN tambah baik syif anggota Imigresen di sempadan Johor-Singapura - Saifuddin
Fareez Azman
Mei 16, 2023 17:42 MYT
Mei 16, 2023 17:42 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkenalkan waktu bekerja syif yang baharu kepada anggota Imigresen yang bertugas di pintu sempadan Johor-Singapura bermula 28 Mei depan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penambahbaikan waktu bekerja syif baharu itu itu melibatkan pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
"Sekarang ini waktu bekerja syif adalah syif pagi 7 pagi hingga 4 petang, syif petang pula dari 3 petang hingga 11 malam dan syif malam bermula 11 malam hingga 8 pagi.
"Hari ini saya nak mengumumkan bahawa waktu bekerja syif ini kita tambah baik, syif pagi 9 pagi-6.00 petang, syif petang 4 petang-12.00 tengah malam dan syif malam 12 tengah malam hingga 6 pagi," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Tambah Saifuddin, latihan telah dijalankan selama seminggu dan mendapati dapat membantu melancarkan pengoperasian ketika waktu puncak di antara jam 4 pagi hingga 8 pagi.
"Waktu puncak di situ di antara jam 4 pagi hingga 8 pagi. Jadi kita tidak mau langsung ada gangguan di situ, sebelum kita umum kita dah buat dry run dan ternyata ia membantu untuk mengurangkan kesesakan.
"Jadi mulai Ahad depan bermulalah syif baharu ini setelah kita buat dry run baru-baru ini," jelasnya lagi.
Tambahnya, pelaksanaan waktu syif bekerja baharu itu dijangka melibatkan kira-kira 1,600 anggota Imigresen di pintu sempadan itu.