KDN sedia siasat pendedahan oleh Edisi Siasat jika ada laporan polis

Faris Danial Razi
Oktober 26, 2021 21:50 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan beliau baru menyedari kewujudan akaun tersebut yang dikatakan membuat pendedahan berkaitan skandal rasuah melibatkan pegawai kanan kerajaan dan pemimpin politik. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia memberi kerjasama dengan pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah laku rasuah seperti didedahkan oleh akaun Edisi Siasat di platform media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan beliau baru menyedari kewujudan akaun tersebut yang dikatakan membuat pendedahan berkaitan skandal rasuah melibatkan pegawai kanan kerajaan dan pemimpin politik.
“Saya baru dengar, saya tidak tahu pun perkara ini. Walau apapun, segala kesalahan, sesiapa saja kalau ada laporan polis, ada siasatan, kita akan berikan kerjasama.
“Cuma buat masa ini, saya tidak tahu,” jelas Hamzah ketika sidang media selepas mesyuarat bersama dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan di Putrajaya pada Selasa.
Edisi Siasat | Jika ada laporan polis, kami sedia berkerjasama
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan dengan akaun Twitter yang dinamakan @edisi_siasatmy yang membongkarkan beberapa individu berkepentingan yang pernah terlibat dengan skandal rasuah termasuk penyalahgunaan kuasa.
Antara isu yang didedahkan termasuk pembabitan pegawai tertinggi sebuah agensi penguat kuasa yang didakwa melindungi sindiket dan terbabit rasuah.
#Hamzah Zainuddin #Kementerian Dalam Negeri #KDN #Rasuah #sindiket #edisi siasat
;