KDN sedia bantu Jakim siasat lelaki mengaku Imam Mahdi - Ahmad Zahid
Bernama
Disember 19, 2015 17:26 MYT
Disember 19, 2015 17:26 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat seorang warga Indonesia, Muhammad Zubir Amir Abdullah yang mengaku sebagai Imam Mahdi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu dari segi tindakan penguatkuasaan serta perundangan terhadap lelaki berkenaan.
"Saya harap orang itu menghentikan aktiviti tersebut dan tindakan akan dilakukan oleh Jakim tetapi KDN akan bantu mereka dalam penguatkuasaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Imigresen 2015 di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata soal akidah tidak boleh ditolak ansur kerana ia adalah sesuatu yang harus dipegang oleh umat Islam.
"Apabila seseorang itu mengaku sebagai Imam Mahdi atau seumpamanya, mereka cuba untuk menyeleweng dan memesong akidah umat Islam, saya bimbang sekiranya tindakan lelaki itu tidak dibendung lebih awal, ia akan menimbulkan masalah pada masa depan," katanya.
Khamis lepas, lelaki berkenaan hadir ke Malaysia untuk berdakwah kepada masyarakat di negara ini.
Muhammad Zubir mendakwa dirinya telah pun dibai'ah atau sumpah setia dan taat dan diperakui oleh 11 pengikutnya sebagai Imam Mahdi dalam satu upacara di Makkah pada 18 Julai lalu.