KDN sahkan seorang anggota polis ditahan kes tembakan di Song
Bernama
Oktober 5, 2024 16:40 MYT
Oktober 5, 2024 16:40 MYT
BANDAR BAHARU: Seorang anggota polis disahkan antara yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang anggota tentera di Song, Sarawak pada 23 Sept lepas.
Ringkasan AI
- Seorang anggota polis disahkan antara yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang anggota tentera di Song, Sarawak pada 23 September lepas.
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mengenai penglibatan anggota polis dalam insiden tersebut semasa lawatannya ke Sarawak.
- Dua lelaki berusia 31 tahun ditahan pada hari kejadian dan polis merampas senapang patah serta peluru penabur.
- Mereka disyaki menjalankan aktiviti memburu secara haram dan salah seorang telah melepaskan tembakan yang disangka binatang liar.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata ketika kunjungan beliau ke Sarawak, baru-baru ini.
"Dalam lawatan saya ke Sarawak, Pesuruhjaya Polis Sarawak memberikan taklimat mengenai siasatan awal yang dibuat untuk menentukan punca insiden yang berlaku di kawasan latihan tentera tersebut.
"Setelah laporan polis dibuat, pihak polis segera membuat siasatan untuk mengesan individu terlibat. Dalam taklimat itu, saya dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak tentang penglibatan seorang anggota polis.
"Kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes ini. Setakat itu sahaja saya boleh sahkan berdasarkan kepada maklumat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes anggota tentera maut akibat terkena tembakan ketika menjalani latihan di kawasan hutan di Song, Kapit pada 23 Sept lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kedua-dua lelaki yang berusia 31 tahun itu ditahan pada hari sama dan polis merampas selaras senapang patah serta beberapa peluru penabur daripada mereka.
"Siasatan mendapati mereka menjalankan aktiviti memburu secara haram.
"Seorang daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar dalam kejadian 2.45 pagi itu," kata Mancha.
-- BERNAMA