KDN sahkan kematian Abu Afghan di Iraq

Abd Razak Mohd Ali
Jun 12, 2017 17:42 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Perak 2017 hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rakyat Malaysia yang terlibat dengan militan Daish, Mohd Nizam Ariffin, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Iraq.
Menurut beliau, Mohd Nizam, 38 tahun, yang juga dikenali sebagai Abu Afghan, terbunuh baru-baru ini, selepas kematian seorang lagi rakyat Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan menyifatkan kematian Abu Afghan, sebagai kematian pengganas yang datang dari Malaysia dan tidak akan membawa pulang jenazahnya.
BACA: Daish: Lagi rakyat Malaysia di Syria terbunuh
"Jika ada fatwa daripada mana-mana pihak mengatakan kematian pengganas-pengganas dari Malaysia ini sebagai syahid, kerajaan tidak mengiktiraf bahawa kematian-kematian itu sebagai syuhada.
"Ini adalah untuk mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan mengusahakan untuk membawa mayat itu pulang kerana beliau melakukan kesalahan atas risiko yang ditanggung oleh beliau sendiri," katanya.
Menurutnya, jika keluarga Mohd Nizam ingin membawa pulang jenazahnya, mereka boleh menghubungi rakan-rakannya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Agropreneur Muda Perak 2017 di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Bagan Datuk, di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan geran RM13 juta untuk lebih 800 program Agropreneur Muda negeri Perak.
Mohd Nizam dikatakan muncul dalam video propaganda Daish pada Januari tahun lepas bersama dengan rakan militannya, Abdul Halid Dari.
Mereka menggelarkan diri sebagai ahli Katibah Nusantara (sayap Daish), dan memanggil saudara militan Katibah dari Somalia, al-Shabaab untuk menyertai kumpulan dan berada di barisan hadapan di Syria.
#Abu Afghan #daish #Iraq #KDN #militan #Mohd Nizam Ariffin #Syria
;