PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbang semula mana-mana warga asing peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) agar mereka yang ingin bermastautin di negara ini berkualiti dan dapat membantu negara dari segi ekonomi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata apa yang diperlukan ialah mereka dapat membantu negara dari segi keseimbangan menjana ekonomi.

"Janganlah hanya melihat dari satu sudut semata-mata bahkan (kita perlu) melihat dari segi masa depan negara. Contohnya sejak 2002, kita tidak tukar dari segi kedudukan atau kriteria dan kita umumkan suatu kriteria yang lebih baik untuk masa depan bersama," katanya dalam sidang media khas selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Dalam Negeri di Kompleks KDN hari ini.

Beliau berkata jika mereka berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, adalah tidak wajar mereka dibenarkan menyertai MM2H kerana pelbagai subsidi diberikan oleh kerajaan kepada setiap warga asing yang tinggal di negara seperti subsidi minyak petrol, gula dan gas.

Baru-Baru ini, kerajaan bersetuju menetapkan bilangan peserta MM2H kepada satu peratus daripada jumlah penduduk negara.

Hamzah juga berkata, KDN akan mempertimbang permohonan peserta berdaftar dengan MM2H yang telah berada di dalam negara.

"(Setakat ini) mereka yang berdaftar menjadi peserta dalam negara kita hanya 28,249 orang (secara prinsipal) dan tanggungan mereka seramai 28,229 menjadikan (jumlah keseluruhan) 57,478 orang. Daripada jumlah itu, berdasarkan pemerhatian seramai 8,000 orang tidak pernah bermastautin di Malaysia. Dari segi angka secara prinsipal, kira-kira 10,000 sahaja yang membeli aset di dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, jumlah (8,000 orang) itu akan diteliti semula dan berkemungkinan pihaknya akan menghubungi warga asing terbabit untuk bertanyakan niat atau sebab mereka menyertai MM2H sedangkan mereka tidak pernah bermastautin di Malaysia.

Katanya jika memiliki aset atau simpanan yang besar di dalam negara, kedudukan mereka yang menyertai MM2H akan diteliti semula melalui pelbagai peringkat termasuk dari segi umur.

Hamzah berkata pihaknya memahami dan akan mengkaji selain memberi peluang serta ruang kepada golongan berusia melebihi 50 tahun yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

"Bagi mereka yang mahu menyertainya, kabinet telah pun meluluskan apa yang telah diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian beberapa minggu lepas," katanya.

-- BERNAMA