KDN pertimbang cadangan kerjasama dengan SKMM, JAKIM
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Oktober 29, 2015 10:53 MYT
Oktober 29, 2015 10:53 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan cadangan untuk menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menangani penerbitan dan penyebaran artikel di laman web yang boleh memesongkan akidah umat Islam.
Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata buat masa ini KDN hanya bertanggungjawab kepada bahan-bahan bercetak sementara SKMM pula membuat pemantauan menerusi laman web.
"Kini KDN hanya bertanggungjawab kepada bahan-bahan yang bercetak dan SKMM akan membuat pemantauan mereka menerusi laman web.
"Kita juga akan dapatkan nasihat daripada JAKIM dan mereka akan mengambil tindakan. Jelas ada perbezaan bahan bercetak dan dalam web. Namun, KDN boleh pertimbangkan untuk bekerjasama antara KDN, SKMM dan JAKIM," katanya di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Idris Ahmad (PAS - Bukit Gantang) yang bertanyakan adakah KDN bertanggungjawab kepada bahan-bahan bercetak yang bercanggah dengan akidah dan ketenteraman awam di laman web.
Tambah Nur Jazlan, KDN juga meneruskan pemantauan di lapangan dari semasa ke semasa termasuk berdasarkan aduan yang diterima pihaknya.
Menurutnya, KDN akan memberi nasihat, teguran dan amaran jika terdapat mana-mana syarikat percetakan menerbitkan artikel bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
"Jika didapati mereka (syarikat percetakan) mengulasi kesalahan yang sama, KDN akan meminta mereka kemukakan surat tunjuk sebab, gantung mahupun membatalkan lesen," katanya sebagai menjawab soalan Normala Abdul Samad (BN - Pasir Gudang) di Parlimen hari ini.
#Idris Ahmad
#Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
#JAKIM
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#Nur Jazlan
#SKMM
#Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia