KDN perlu siasat dakwaan kematian Ganapathy - Sivarraajh

Astro Awani
April 27, 2021 18:59 MYT
Sivarraajh menegaskan, ia bukan isu baharu namun perlu diberi perhatian agar sebarang kekeliruan berkaitan dapat diperjelaskan. - Foto: MIC
KUALA LUMPUR: Datuk Sivarraajh Chandran menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan bebas berhubung kematian suspek, A. Ganapathy yang ditahan polis baru-baru ini.
Naib Presiden MIC itu menegaskan, ia bukan isu baharu namun perlu diberi perhatian agar sebarang kekeliruan berkaitan dapat diperjelaskan.
"Kematian Ganapathy tempoh hari selepas hampir sebulan di unit rawatan rapi Hospital Selayang berikutan penahanan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan membantu siasatan perlu disiasat dengan segera oleh KDN.
"Dakwaan ibu mendiang bahawa mendiang telah dinafikan hak untuk menerima perubatan dan telah dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan serius ketika dalam tahanan sehingga mengakibatkan kematian perlu diberi perhatian dan dijawab dengan sewajarnya.
"Selain memastikan satu siasatan bebas di bawah Kementerian Dalam Negeri diadakan dengan segara untuk menyiasat punca kematian tersebut, Menteri Dalam Negeri juga perlu mengambil tanggung jawab untuk memastikan keluarga A. Ganapathy tidak terdedah kepada sebarang ancaman akibat pendedahan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ganapathy sebelum ini didakwa dipukul polis ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya dipotong menghembuskan nafas terakhir semalam selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.
Kakaknya, A Thangamalar, 41, berkata pihak hospital mengesahkan kematian Ganapathy yang dimasukkan di hospital pada 8 Mac lalu.
Mendiang bekerja sebagai peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun.
Dalam pada itu jelas Sivarraajh, KDN perlu memastikan keluarga Ganapathy tidak terdedah dengan ancaman daripada mana-mana pihak.
"Suka atau tidak, setiap kali berlakunya insiden seperti ini, kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa akan hanya merosot lagi.
"Saya percaya kematian ini juga sekali lagi membuktikan kepentingan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.
"Keadilan yang dapat diketengahkan melalui IPCMC bukan sahaja penting untuk memasstikan mangsa menerima keadilan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi PDRM sendiri," ujarnya.
#MIC #PDRM #KDN #ICU #mangsa #peniaga #keluarga
;