KDN perkukuh kerjasama dengan KKMM cegah penularan berita palsu vaksin
Bernama
Februari 26, 2021 23:52 MYT
Februari 26, 2021 23:52 MYT
PASIR MAS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam menangani isu penyebaran berita palsu terutama berkaitan vaksin COVID-19.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata kerajaan memandang serius berita-berita palsu yang disebarkan pihak atau individu tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata mereka yang didapati menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan di bawah ordinan darurat yang mempunyai peruntukan bagi kesalahan itu.
"Ia bukan sahaja mengenai ketidakpercayaan terhadap COVID-19, tetapi juga penyebaran berita palsu mengenai perkara lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am Lubok Setol, Rantau Panjang di sini, hari ini.
Sementara itu, Ismail berkata lawatannya ke markas itu adalah bagi memantau kesiapsiagaan penugasan pegawai serta anggota agensi terlibat dalam operasi mengawal keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand.
Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Hassan Basri Ahmad Safar.
-- BERNAMA
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#Kementerian Komunikasi dan Multimedia
#KKMM
#vaksin
#COVID-19
#kerajaan
#rakyat
#keselamatan
#menteri
#operasi