KDN perkenal Pas Sementara Sabah ganti tiga dokumen warga asing
Ruzaini Zulkepli
September 6, 2019 05:31 MYT
September 6, 2019 05:31 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di negeri ini pada tahun hadapan.
Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiga dokumen yang dimaksudkan adalah Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13.
Beliau berkata, kad PPS itu akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun hadapan dengan kriterianya juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari.
"Bagi meningkatkan cara penguatkuasaan untuk memastikan rekod warga asing ini berpusat dan seragam, maka kita putuskan hari ini akan mengeluarkan PSS dikendali oleh Jabatan Imigresen Sabah.
"Jadual pelaksanaan pada 1 Jun 2020. Jadi, peringkat sekarang untuk menyusun bagaimana ia dilaksanakan, ada badan khas di peringkat negeri," katanya pada Jumaat.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, setiap penggantian kad PPS itu akan dikenakan caj RM120 setiap seorang dengan tempoh tiga tahun.
Tambahnya, setakat ini, kira-kira 600,000 pemegang tiga dokumen warga asing berada di Sabah.
Bagaimanapun, penggantian kad PSS itu hanya tertakluk kepada pemegang tiga dokumen warga asing tersebut sahaja.
Warga asing yang baru datang ke Sabah untuk tujuan pekerjaan tidak termasuk dalam langkah berkenaan dan harus mengikuti prosedur ditetapkan oleh Imigresen.
"Tiga kategori itu yang memang sudah ada di sini, kalau yang masuk tidak daftar mungkin di anggap sebagai pendatang asing tanpa izin.
"Warga asing kalau masuk kalau ada proses prosedur lain, kalau dia kerja setahun dia kena balik, itu proses Imigresen," katanya.
Terdahulu, Muhyiddin yang dalam lawatan kerjanya ke Sabah pada Jumaat sempat merasmikan Program Mekar Sabah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Lok Kawi, Putatan.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut berkesempatan menyampaikan MyKad baharu kepada sekumpulan penduduk yang menukar kad pengenalan mereka.
#ciri-ciri keselamatan
#dokumen
#jabatan imigresen
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#Mohd Shafie Apdal
#Muhyiddin Yassin
#Pas Sementara Sabah
#pendatang asing tanpa izin
#PSS
#Sabah
#warga asing