KDN perkemas kaedah pendaftaran pelarian - Saifuddin Nasution
Bernama
April 6, 2023 23:56 MYT
April 6, 2023 23:56 MYT
KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkemas kaedah pendaftaran pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana kementerian ketika ini tidak memiliki jumlah sebenar pelarian di Malaysia.
Katanya perkara itu hanya boleh diatasi sekiranya UNHCR dapat memberikan jumlah pelarian yang tepat melalui kaedah pendaftaran mereka.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Jama'ie di Masjid Penjara Kajang, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhammad.
Saifuddin Nasution berkata perkara sama turut dibangkitkan beliau pada pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi mendapatkan nasihat mengenai pengurusan pelarian di negara ini.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan pengeluaran kad UNHCR akan dihentikan, beliau menjelaskan pengeluaran kad UNHCR bagi pelarian dan pencari suaka adalah sepenuhnya di bawah organisasi berkenaan.
"UNHCR seperti yang kita tahu telah lama wujud sejak zaman perang Vietnam dan sampai sekarang ia sebagai satu entiti di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Adanya UNHCR dalam negara ini iaitu fungsinya hanya dua iaitu menguruskan hal ehwal pelarian kemudian menempatkan pelarian yang telah dikenal pasti dan ditapis untuk ditempatkan di negara ketiga," katanya.
-- BERNAMA