KDN periksa Muzium Kebudayaan Komik Asia, rampas komik propaganda

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 24, 2019 15:05 MYT
Difahamkan ketika serbuan dilakukan hanya terdapat pekerja berikutan premis baru dibuka pada jam 11 pagi. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pemeriksaan di Muzium Kebudayaan Komik Asia di George Town Pulau Pinang hari ini.
Dalam pemeriksaan kira-kira sejam yang bermula jam 11 pagi tadi, sepasukan pegawai bahagian penguatkuasa KDN telah melakukan pemeriksaan dan merampas 13 buah Komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama versi bahasa Cina.
Menurut sumber, pemeriksaan dibuat susulan arahan KDN yang mengharamkan komik kontroversi berkenaan yang disifatkan boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.
'Rampasan dibuat berikutan pihak KDN mendapati komik berkenaan masih lagi dipamerkan dan dijual di premis berkenaan hari ini,' katanya.
Difahamkan ketika serbuan dilakukan hanya terdapat pekerja berikutan premis baru dibuka pada jam 11 pagi.
Menurut pekerja yang enggan dikenali, mereka membuka premis seperti biasa berikutan tidak mendapat sebarang maklumat lanjut daripada pihak pengurusan muzium.
Malah pihaknya juga tidak mengetahui mengenai larangan mempamerkan komik kontroversi itu.
Katanya, setakat ini, muzium berkenaan dibuka seperti biasa iaitu bermula jam 11 pagi hingga 7 malam.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KDN telah mewartakan perintah larangan terhadap komik 'Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama' termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.
Langkah itu diambil selepas pihaknya meneliti dan mendapati kandungan komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Tegasnya, larangan di buat bukan berdasarkan kepada sentimen atau politik sebaliknya KDN mempunyai alasan kukuh untuk mengharamkan komik itu kerana boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.
#KDN #Kementerian Dalam Negeri #komik #Komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama #komik propaganda #Muhyiddin Yassin
;