KDN nafi dakwaan kelulusan 80,000 pekerja asing Bangladesh sebelum PRU14
Faiq Chong
Jun 7, 2018 06:18 MYT
Jun 7, 2018 06:18 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan mengenai kelulusan 80,000 kuota pekerja asing Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh tiga hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
KDN hanya meluluskan sejumlah 648 pekerja asing Bangladesh pada 7 dan 8 Mei 2018 berdasarkan semakan rekod, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.
Kenyataan tersebut juga menjelaskan pengambilan pekerja asing dibenarkan dari 15 buah negara sumber dan pemilihan negara sumber pekerja asing adalah bergantung kepada keperluan majikan sendiri.
Pihak kerajaan tetap komited untuk menyediakan peluang pekerjaan dan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.
“Bagaimanapun, sekiranya majikan gagal untuk mendapatkan pekerja tempatan, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor-sektor yang dibenarkan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,” jelasnya dalam kenyataan berkenaan.
Pihak KDN juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang penyalahgunaan berkaitan sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa kononnya didatangi seorang individu bernama 'Dato' Amin' yang dipercayai terlibat dalam sindiket kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia sebelum PRU14.
Muhyiddin menafikan dakwaan berkenaan yang tular di media sosial dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali individu tersebut.