"KDN, menteri lebih tahu jumlah masuk pelancong, kenapa tanya saya?" - Tun M

Hafizi Rosli
Julai 31, 2023 12:08 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang memintanya mengemukakan bukti jutaan pelancong China tidak pulang ke tanah asal.
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang memintanya mengemukakan bukti jutaan pelancong China tidak pulang ke tanah asal.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, apa perlu beliau membuktikan hal itu kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterajui Saifuddin mempunyai akses sepenuhnya kepada data keluar dan masuk pelancong luar ke negara ini.
"Yang punyai maklumat ialah KDN dan menteri. Tiap tahun kerajaan isytihar jumlah pelancong yang masuk.
"Kerajaan tentu tahu jumlah yang keluar. Kenapa tanya saya?" soal Dr Mahathir dalam hantaran terbaharu di akaun media sosial beliau pada Isnin.

PELANCONG CHINA 1. KDN dan Menterinya tuntut supaya saya buktikan jutaan pelancong China tidak pulang ke negara asal. 2. KDN sendiri telah nyata di Parlimen seperti yang dilaporkan di Berita Harian pada 27 Julai 2022 mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari

— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) July 31, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dr Mahathir turut memetik laporan akhbar Berita Harian terbitan 27 Julai 2022 yang melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia setelah tiba di negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.
“Saya telah berjumpa dengan ramai mereka dan ramai yang memiliki rumah di Kuala Lumpur. Angka 1.5 juta disebut oleh pendakwa lain. Saya cuma terima dakwaan mereka,” jelas Dr Mahathir.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab KDN dan menterinya untuk menghitung jumlah kemasukan dan keluar pelancong.
Sementelah, jelas beliau, kepesatan teknologi masa kini membolehkan data dikutip di semua pintu masuk dan pintu keluar negara.
Dalam masa sama, Dr Mahathir berkata, sekiranya diberi akses kepada data dan rekod kemasukan pelancong, beliau sedia untuk membuktikannya.
“Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah kerajaan ingin sembunyi data.
“Apa gunanya rekod jika Menteri pun tidak dapat maklumat akan data di dalamnya.
“Banyak lagi rekod yang disimpan oleh kerajaan. Umpamanya siapa yang memiliki tanah, siapa yang kaya yang tinggal dalam perumahan mewah,” tulis Dr Mahathir dalam hantaran itu lagi.
Dalam hantaran sama, beliau berkata, tindakan kerajaan mengklasifikasikan kelas masyarakat seperti B40 dan T20 sahaja tidak cukup.
“Kerajaan boleh dapat lebih banyak maklumat untuk bertindak, untuk menentu dasar. Rakyat berhak tahu data ini dan dasar kerajaan berkenaan dengan maklumat yang didapati,” ujar beliau.
Minggu lalu KDN meminta Dr Mahathir untuk membuktikan dawaan jutaan pelancong China yang masuk ke Malaysia tidak pulang ke tanah asal.
#Pelancong China #Tun M jawab Saifuddin #Saifuddin Nasution #Kementerian Dalam Negeri
;