KDN memperluaskan usaha pencegahan penyeludupan Sabah dan Sarawak
Astro Awani
Jun 30, 2013 07:30 MYT
Jun 30, 2013 07:30 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperluaskan fungsi Unit Pencegahan Penyeludupan(UPP) di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak bagi memperkemaskan lagi kawalan di sempadan kedua-dua negeri itu.
Untuk itu sejumlah anggota UPP akan dipinjamkan ke negeri berkenaan dalam tempoh terdekat dana akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti polis, Kastam dan Imigresen untuk mengekang kegiatan penyeludupan ke negara jiran.
Menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati ada keperluan untuk memperluaskan fungsi UPP dan pihaknya akan berbincang dengan kementerian terbabit bagi melaksanakan perkara itu.
Kawasan tumpuan adalah di sekitar sempadan Malaysia-Indonesia di lorong-lorong tikus yang dikenalpasti.
"Dulunya sikit jumlah yang telah dibolosi oleh mereka tapi sekarang ni jumlahnya semakin bertambah akibat daripada harga minyak diesel barangan bersubsidi yang rata-rata lebih murah berbanding dengan negara-negara luar," kata beliau.
"Oleh yang demikian kita akan bekerjasama dengan kementerian pertahanan melalui unit kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama UPP ini adalah perancangan national blue ocean startegy yang kita akan laksanakan dalam tempoh yang terdekat ini."
Beliau berkata demikian pada majlis hari terbuka upp di kompleks UPP Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Tambah beliau lagi, ia sebagai satu starategi lautan biru yang memberi tumpuan terhadap penyeludupan beberapa barangan bersubsidi seperti gas memasak, minyak petrol dan diesel yang boleh didapati di negara ini dengan harga yang murah.