KDN lancar Op Bantu, bantu rakyat terputus bekalan makanan

Ridauddin Daud
Julai 6, 2021 19:59 MYT
Hamzah (kanan) berkata kira-kira 50,000 bakul makanan akan diagihkan di seluruh negara dan IPD menjadi pusat penyimpanan bekalan makanan tersebut. - Gambar UKK KPWKM
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Op Bantu bagi memberikan bantuan segera kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Op Bantu yang bermula pada 6 Julai 2021 akan digerakkan di seluruh negara di mana agihan hampir 50,000 bakul makanan sudah pun dilakukan.
Menurutnya, inisiatif terbaru itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat dalam penyediaan bakul makanan buat penerima.
“Di peringkat lapangan, Op Bantu akan diketuai 157 Ketua Polis Daerah di seluruh negara dan melibatkan Skuad Aman wanita (Amanita) di bawah PDRM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di peringkat daerah masing-masing.
“Sehubungan itu, IPD di seluruh negara akan jadi pusat pengagihan dan penyimpanan bekalan makanan melalui Op Bantu.
“Anggota Rela di lapangan pula akan melakukan rondaan bagi dapatkan maklumat dan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Op Bantu di sini pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Tambah Hamzah, individu yang terputus bekalan makanan diminta memaklumkan perkara itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan boleh juga hadir ke IPD berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Rina menyambut baik inisiatif digerakkan KDN dan memberi jaminan kementeriannya akan terus membantu terutamanya dari aspek bekalan bakul makanan.
“Sudah pasti program ini dapat membantu kami di kementerian dalam konsep tiada siapa ada yang tertinggal. Kita tidak mahu ada yang tertinggal.
“Bukan hanya di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) malah di IPD seluruh malaysia berpeluang sama-sama untuk sampaikan bantuan bakul makanan,” ujarnya.
Tambahnya, kerjasama membabitkan beberapa kementerian seperti itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memberikan bantuan kepada rakyat.
#PDRM #KDN #jkm #Op Bantu #Bakul Makanan #bekalan makanan #Hamzah Zainudin #Rina Harun #KPWKM #Bendera putih #Kementerian Dalam Negeri #Jabatan Kebajikan Masyarakat
;