KDN lakukan pelarasan dasar, libat elemen penambahbaikan - Saifuddin
Hafizi Rosli
Januari 27, 2023 14:16 MYT
Januari 27, 2023 14:16 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan beberapa pelarasan melibatkan dasar dan polisi kementerian termasuk elemen penambahbaikan, penamatan, pengenalan dasar baharu serta penjajaran.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelarasan itu bagi memastikan tahap penyampaian KDN dalam keadaan baik dan beliau meminta warga kementerian untuk bersedia dengan proses berkenaan.
"Saya tekankan, dalam mana-mana pembentukan kerajaan baharu dan bila ia berkait dengan dasar dan polisi, maka akan ada pelarasan melibatkan elemen penambahbaikan, atau mungkin kita tamatkan, juga perkenalkan dasar baharu mahupun penjajaran.
"Saya tekankan proses itu akan berlaku dan ini penting untuk warga KDN bersiap sedia," jelasnya di sidang media di Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Jumaat.
Jelas Saifuddin lagi, sekiranya dasar yang dibuat daripada pemerintah dahulu adalah baik, maka ia akan diteruskan serta akan ditambahbaik.
Saifuddin yang dilantik sebagai Senator Dewan Negara dan diberikan portfolio Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memulakan tugas sebagai Menteri KDN pada 6 Disember tahun lalu.