KDN, KSM komited tambah baik aspek pengurusan pekerja asing - Saifuddin Nasution
Bernama
Januari 3, 2024 00:15 MYT
Januari 3, 2024 00:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited dalam usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu melibatkan ruang lingkup bersama kedua-dua kementerian itu dibincangkan ketika pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata turut dibincangkan berkenaan kes eksploitasi pekerja asing.
"Pertemuan petang tadi memfokuskan isu yang melibatkan ruang lingkup bersama KDN dan KSM iaitu hal pengurusan pekerja asing.
"Isu hangat melibatkan kes eksploitasi pekerja asing menjadi topik serius yang dibincangkan, selain perancangan masa depan bagi 2024 terkait elemen penambahbaikan dalam aspek pengurusan pekerja asing di Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pertemuan itu juga menyentuh beberapa hal lain berkaitan yang diperincikan, dengan kedua-dua mereka bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan media bersama dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan terhadap persoalan berbangkit.
Sebelum ini, Sim dilaporkan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan KDN mengenai isu pekerja asing dalam masa terdekat termasuk cadangan meletakkan urusan berkaitan golongan itu di bawah satu kementerian sahaja.
Beliau juga telah meminta mengadakan pertemuan dengan Saifuddin Nasution bagi membincangkan tentang dasar dan operasi pekerja asing di Malaysia secara terperinci terutamanya berkenaan bidang kuasa kedua-dua kementerian, sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
-- BERNAMA
#Kementerian Dalam Negeri
#Kementerian Sumber Manusia
#pengurusan pekerja asing
#Saifuddin Nasution Ismail
#Steven Sim