KDN, KSM bincang sistem digital pekerja asing, pembantu rumah minggu depan - PM

Shafizan Johari
Januari 9, 2023 20:50 MYT
Anwar berkata sistem itu perlu dibangunkan segera bagi mengurangkan birokrasi dan penglibatan orang tengah. - Gambar/ Pejabat Perdana Menteri
JAKARTA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan untuk mewujudkan sistem digital bagi proses pengambilan pekerja asing, termasuk pembantu rumah, minggu hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem itu perlu dibangunkan segera bagi mengurangkan birokrasi dan penglibatan orang tengah.
Bercakap kepada pemberita Malaysia pada akhir lawatan dua hari ke Indonesia, Anwar juga memberi gambaran sistem itu akan membolehkan kos pengambilan pekerja asing dikurangkan.
“Kosnya terlalu tinggi. Kita semua ada pembantu rumah yang kita tahu prosesnya, ia menyebabkan kelewatan dan begitu banyak kesusahan bagi orang miskin," katanya.
Perdana Menteri turut mengakui kos pengambilan pekerja asing sangat mahal dan bayaran yang dikenakan tidak seragam iaitu daripada RM10,000 hingga RM25,000.
Anwar juga memaklumkan sistem berkenaan bakal memudahkan sebarang aduan dilakukan, termasuklah isu melibatkan tuntutan gaji dan penderaan.
“Netizen di sini (Indonesia) menjadi sangat gelisah atas sebab tertentu. Bagaimana mereka (pembantu rumah) boleh diperlakukan sedemikian.
“Sudah tentu tidak semua, kami tidak melayan pembantu rumah kami begitu, tetapi hakikatnya sangat sukar (untuk mengupah pembantu rumah) dan mereka mengenakan kadar yang terlalu tinggi, yang tidak konsisten, ia berbeza," katanya.
Isu mengenai kebajikan pekerja asing terdahulu dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara Anwar dan Joko Widodo di Istana Bogor pada sebelah pagi, di mana Presiden Indonesia itu memuji komitmen yang disuarakan Anwar untuk membela nasib pekerja Indonesia di Malaysia.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Indonesia #pekerja asing
;