KDN, KSM bermesyuarat 16 Jan, rangka formula urus pekerja asing

Bernama
Januari 9, 2024 17:10 MYT
Saifuddin Nasution berkata, mesyuarat itu akan mengemukakan dasar baharu kepada Jemaah Menteri supaya isu pekerja asing diuruskan dengan baik. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mesyuarat antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 16 Jan ini akan merangka formula dalam pengurusan pekerja asing yang lebih berkesan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas isu kemasukan pekerja asing, termasuk yang tidak diberi pekerjaan, beliau berkata mesyuarat itu akan mengemukakan dasar baharu kepada Jemaah Menteri supaya isu pekerja asing diuruskan dengan baik.
"Soal majikan bawa masuk pekerja tapi tiada pekerjaan, tidak patuh undang-undang sedia ada, termasuk Akta Imigresen, Akta Pasport dan Akta Kerja akan menjadi tumpuan pada 16 Jan ini," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata Pusat Data Sains diwujudkan secara dalaman untuk melakukan analisis ke atas data-data yang dikumpul agensi di bawah KDN supaya dapat memberi input dalam menggubal dasar baharu serta jawapan tepat kepada pemasalahan.
"Data itu kalau kekal sebagai raw data, dia tidak ada apa-apa makna. Berapa banyak laporan polis sebulan... 359,000 tapi kalau kita analisis data itu, menjadikan ia sebagai data granular kita boleh tahu dengan lebih tepat dan mendalam," katanya.
-- BERNAMA
#pekerja asing #KDN #ksm #Saifuddin Nasution
;