KDN kembangkan perkhidmatan Pusat Satelit Ekspatriat ke Terminal 2 KLIA

Astro Awani
Julai 23, 2024 18:48 MYT
KDN telah merekodkan peningkatan pengeluaran pas hampir 100 peratus pada 2023, iaitu sebanyak 10,703 pas berbanding 5,000 pas pada tahun sebelumnya.
SEPANG: Susulan sambutan terhadap Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) yang menggalakkan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperluaskan perkhidmatannya ke Terminal 2 KLIA.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN telah merekodkan peningkatan pengeluaran pas hampir 100 peratus pada 2023, iaitu sebanyak 10,703 pas berbanding 5,000 pas pada tahun sebelumnya.
Jelasnya lagi, keputusan tersebut adalah selaras dengan status Malaysia yang semakin mendapat tempat di kalangan syarikat-syarikat multinasional luar negara (MNC) dan pelabur.
“Malaysia telah merekodkan peningkatan bilangan ekspatriat, dan ini sekali gus menunjukkan Malaysia adalah salah satu destinasi pilihan MNC, dan pelabur. Peningkatan ekspatriat dengan pelaburan ini sudah tentu memberi kesan positif kepada ekonomi negara, selain menjana peluang pekerjaan,” katanya lagi.
Untuk rekod, ESC yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Talent Corporation, berperanan untuk mengeluarkan pelbagai jenis pas bagi golongan ekspatriat, profesional serta tanggungan mereka.
Dengan pas tersebut, golongan itu dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di negara ini. Tempoh kelulusan permohonan adalah jauh lebih pendek, berbanding tempoh 30 hari sebelum ini.
“Kumpulan sasaran merujuk kepada sesiapa sahaja yang masuk ke negara sebagai ekspatriat. Sasaran kita kelompok yang bekerja di sini, dengan masing-masing datang dari syarikat MNC dan pelbagai syarikat pelabur, dan tugas Talent Corp serta JIM dalam hal ini adalah memudah cara mereka, selaras hasrat ease of doing business.
“Perdana Menteri promosi seantero dunia, hendak menarik syarikat pelabur dan MNC, dan Talent Corp dan JIM berasa bangga kerana pada finishing line itu, dapat memudahkan pas ekspatriat untuk dikeluarkan. Kami berjaya menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas,” katanya lagi.
#Kementerian Dalam Negeri #pusat satelit ekspatriat #Saifuddin Nasution #pelaburan
;