KDN isytihar PPS pertubuhan menyalahi undang-undang

Astro Awani
November 4, 2014 11:12 MYT
KDN menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama dalam membantu usaha kerajaan membanteras aktiviti-aktiviti PPS. - Gambar fail
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato Sri Mohamad Khalid Shariff dalam satu kenyataan media berkata, pertubuhan itu bercanggah dengan undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.
"Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara ini," katanya yang dipetik daripada kenyataan tersebut.
"Tiada seseorang pun boleh menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil PPS," tambah beliau.
Antara implikasi pengisytiharan ini adalah segala akaun, aset, harta Pasukan Perondoa Sukarela Pulau Pinang (PPS) akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia..
Beliau juga menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama dalam membantu kerajaan membanteras aktiviti PPS.
#Akta Petubuhan #KDN #Kementerian Dalam Negeri #Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang #PPS #Putrajaya