KDN gerak sukarelawan pascabanjir - Saifuddin Nasution
Bernama
Disember 4, 2024 16:20 MYT
Disember 4, 2024 16:20 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan sukarelawan dalam misi bantuan pascabanjir bagi membantu kerja-kerja pembaikan serta pemulihan infrastruktur di institusi yang terjejas akibat bencana itu.
Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan sukarelawan untuk membantu kerja-kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur di institusi yang terjejas akibat banjir, menggunakan aset seperti pam air berkuasa tinggi dan meriam air.
- Program 'Menyemai Kasih Rakyat' akan menggantikan dokumen pengenalan diri yang hilang akibat banjir secara percuma, dengan kenderaan bergerak ditempatkan di lokasi strategik untuk memudahkan mangsa banjir.
- Terdapat trend penurunan jumlah keluarga dan mangsa banjir yang dipindahkan, selari dengan keadaan cuaca yang bertambah baik. Fokus utama kini adalah kesihatan, penyediaan makanan dan minuman, serta penyelarasan agensi dan sukarelawan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN mempunyai kelebihan dari segi aset yang akan mempermudah operasi pembersihan seperti pam air berkuasa tinggi dan meriam air (water cannon).
"Sukarelawan KDN melalui inisiatif Insan MADANI akan membantu memulihkan institusi seperti masjid, rumah ibadat, dewan dan sekolah.
"Kami juga akan memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan, termasuk sampah pukal seperti almari dan perabot rosak yang perlu diuruskan dengan cekap," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi dekat sini, hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, beliau juga telah mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi menyusun perancangan misi pascabanjir di negeri tersebut.
Sementara itu, beliau berkata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah diarahkan untuk menggerakkan program 'Menyemai Kasih Rakyat' bagi menggantikan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran yang hilang akibat banjir, secara percuma.
"Kenderaan bergerak seperti bas dan van akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memudahkan mangsa banjir. Ketua Pengarah Imigresen turut bersetuju untuk melaksanakan inisiatif yang sama bagi dokumen seperti pasport," katanya.
Beliau berkata setakat malam tadi, Ketua Polis Negara memaklumkan bahawa terdapat trend penurunan dari segi jumlah keluarga dan mangsa banjir yang dipindahkan.
"Penurunan ini boleh dilihat selari dengan keadaan cuaca yang bertambah baik sejak dua hingga tiga hari kebelakangan ini, berbanding keadaan pada hari Jumaat dan Sabtu yang lebih kritikal.
"Saya meminta untuk meninjau sendiri keadaan di PPS. Fokus utama kita pada masa ini adalah keadaan kesihatan, penyediaan makan dan minum serta penyelarasan agensi dan sukarelawan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan mangsa banjir selamat dipindahkan dan mendapat keperluan asas di PPS, termasuk makanan dan rawatan kesihatan.
-- BERNAMA