KDN galakkan taklimat kewarganegaraan diadakan bersama JPN

Bernama
Julai 30, 2024 15:00 MYT
KDN menggalakkan sebarang taklimat berkaitan isu, proses serta permohonan kewarganegaraan diadakan dengan penglibatan JPN. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan sebarang taklimat berkaitan isu, proses serta permohonan kewarganegaraan diadakan dengan penglibatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan lisan di laman sesawang Parlimen hari ini menyatakan ia bagi memastikan perkara yang hendak disampaikan mempunyai legitimasi dan kepercayaan.
"Ia juga untuk menjawab sebarang pertanyaan dengan lebih cepat dan tepat.
"Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa sebarang permohonan kewarganegaraan Malaysia tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak selain JPN dan permohonan hanya boleh dibuat di kaunter jabatan itu dengan kehadiran pemohon," menurut KDN.
Penjelasan itu bagi menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu mengenai pemantauan dan penguatkuasaan yang dilakukan terhadap program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan oleh beberapa wakil rakyat.
Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyokong cadangan diutarakan Senator Manolan Mohamad dalam mewujudkan klausa berkaitan perpaduan di setiap perlembagaan parti politik di negara ini.
"KPN amat menggalakkan agar semua parti politik dapat berbuat sedemikian supaya menjadi contoh dan teladan baik dalam landskap perpaduan negara.
"Antara dapatan melalui Program Wacana Defisit Sosial yang diadakan oleh kementerian adalah penghasilan Indeks Pengukuran Kepimpinan Politik," menurut kementerian itu dalam jawapan lisan di laman sesawang Parlimen hari ini.
KPN juga memaklumkan indeks itu dapat mengukur tahap kepimpinan ahli politik yang bercirikan wajah perpaduan dan dinilai secara terus oleh rakyat.
"Kerjasama dan kesepakatan setiap parti politik di Malaysia amat dituntut bagi memastikan keamanan, keharmonian dan perpaduan terus terpelihara," menurut kementerian itu sebagai menjawab soalan Senator Manolan Mohamad.
Beliau ingin tahu langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya melalui peranan parti-parti politik dan kerelevanan mewajibkan setiap parti politik memasukkan klausa perpaduan di dalam perlembagaan mereka.
-- BERNAMA
#KDN #Parlimen #Kementerian Dalam Negeri #JPN