KDN: Dirampas kerana gagal patuhi syarat
Irwan Muhammad Zain
Mei 23, 2013 16:58 MYT
Mei 23, 2013 16:58 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan rampasan terhadap Harakah, Suara Keadilan dan Roket diambil atas kegagalan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.
Rampasan dibuat di bawah Seksyen 5 iaitu Kesalahan Untuk Mencetak, Mengimport, Menerbit Akhbar Tanpa Permit, tidak mematuhi syarat-syarat permit iaitu untuk edaran ahli-ahli sahaja seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara bermula pada 22 Mei 2013 dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini," kata KDN dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini.
KDN juga menjelaskan operasi ini akan dilakukan secara berterusan dengan bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 bagi memastikan semua pihak tidak melanggar Akta tersebut.
Mengulas tindakan ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Musatafa Ali menegaskan pihaknya tidak faham dengan tindakan terbaru yang dibuat oleh KDN dibawah menteri baru ini.
"Kami (PAS) tidak faham dengan tindakan yang dibuat oleh KDN dibawah menteri baru ini dan ia seolah-olah membalas dendam kerana keputusan Pilihan Raya umum yang lalu kurang baik untuk Barisan Nasional.
"Kami (PAS) sudah mengumpul maklumat rampasan ini dan akan membuat laporan polis dengan segera seterusnya akan menyerahkan kepada peguam untuk diambil tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi astro awani.
Sementara itu, Setiauasa Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengecam langkah KDN ini dan menganggap ia satu tindakan yang tidak demokratik.
"PKR menganggap tindakan ini adalah cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif dari rakyat yang sebenarnya mampu menilai dengan bebas tentang perkembangan politik negara," katanya dalam satu kenyataan media sebagai respon terhadap rampasan lidah rasmi milik parti gabungan Pakatan Rakyat.
Beliau juga menegaskan pihaknya tidak gentar dengan tindakan terbaru ini kerana yakin dengan kebijaksaan rakyat yang akan mengadili apa yang berlaku.
Harakah, Suara Keadilan dan Roket dilaporkan dirampas di Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perak.
Pindaan Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984 pada yang diluluskan 2012 hanya menekankan kepada permit penerbitan tidak perlu diperbaharui. Pindaan tersebut juga menyatakan jika terdapat perkara yang dianggap tidak mematuhi syarat AMCP, akhbar masih boleh dirampas dan permitnya masih boleh digantung.
Pada 2009, akhbar Harakah dan Suara Keadilan pernah dirampas dan digantung penerbitannya atas alasan dijual kepada orang ramai bukan kepada ahli seperti kelulusan yang diberikan. Pengantungan itu kemudiannya ditarik balik sebaik saja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Sebelum itu pada tahun 1999, sebaik saja selepas PRU-10, permit pernerbitan Harakah dua kali seminggu ditarik balik dan hanya dibenarkan keluar sebulan dua kali. Selepas PRU-12, pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi (Datuk Seri ketika itu) membenarkan Harakah kembali diterbitkan dua kali seminggu.