KDN digesa siasat gambar 'kahwin' Zahid-Hadi di akhbar Cina

Sinar Harian
September 24, 2019 04:50 MYT
Gambar disiarkan akhbar berbangsa Cina memaparkan perkahwinan antara pemimpin UMNO dan Pas dalam keadaan mengaibkan. Gambar kecil: Ahmad Amzad. Foto Sinar Harian
Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menyiasat sebuah syarikat akhbar berbahasa Cina yang didakwa melakukan penghinaan dengan menyiarkan gambar 'perkahwinan' dua pemimpin Pas dan UMNO dalam keadaan tidak sopan menerusi gambar yang telah disunting.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan akhbar berkenaan menyiarkan gambar mengaibkan itu menunjukkan sikap biadab dan melampau.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang berbudi bahasa supaya mengecam penyiaran gambar yang disunting oleh akhbar berbahasa Cina itu.
"Ia adalah penyiaran tidak beretika, melampau dan biadab yang mengguris perasaan umat Islam, Melayu dan tidak baik dalam memupuk keharmonian antara kaum," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Ahmad Amzad berkata, pihaknya kesal dan mengutuk tindakan akhbar itu yang dilihat cuba 'memanaskan' dan menyuburkan kebencian.
"Akhbar diberi permit penerbitan bagi memupuk keharmonian kaum, namun ia memilih untuk 'memanaskan' lagi kebencian dengan penyiaran gambar yang di sunting itu.
"Mereka memilih untuk menyinggung usaha ini dengan menyemai kebencian ketika dua parti terbesar Melayu Islam mengajak perpaduan ummah seluruh rakyat dan disahut parti MCA, MIC, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) serta pelbagai kaum yang cintakan keharmonian, kestabilan dan perpaduan," katanya.
Pada 22 Sept lalu, UMNO menyifatkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang memaparkan gambar 'perkahwinan' Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang edisi 19 September lalu sebagai perbuatan biadab.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa sahaja hingga melampaui batas, apalagi melanggar batas etika kewartawanan.
#Abdul Hadi Awang #Ahmad Amzad Hashim #Ahmad Zahid Hamidi #akhbar Cina #biadab #gambar disunting #Himpunan Perpaduan Ummah #KDN #kebencian #Kementerian Dalam Negeri #melampau #mengguris perasaan #PAS #pemimpin #perkahwinan #UMNO