KDN digesa kaji semula pemeriksaan imigresen di terminal feri kenderaan Labuan
Bernama
Disember 21, 2022 16:34 MYT
Disember 21, 2022 16:34 MYT
LABUAN: Kementerian Dalam Negeri digesa supaya mengkaji semula pelaksanaan pemeriksaan imigresen di terminal feri kenderaan Labuan yang bermula sejak 1 Nov lepas.
Setiausaha PKR Sabah Simsudin Sidek yang membuat gesaan itu berkata, pemeriksaan imigresen itu dilihat tidak selari dengan perjanjian berkaitan penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan, dan pelaksanaannya banyak menimbulkan rasa 'tidak selesa' dalam kalangan penduduk Sabah serta Labuan yang sering berulang-alik antara tanah besar dan pulau Labuan.
"Kita lihat tidak ada keperluan untuk warga Sabah dan Labuan menjalani pemeriksaan imigresen, berdasarkan perjanjian itu," katanya kepada Bernama hari ini.
"Yang memerlukan pemeriksaan imigresen adalah kepada mereka yang bukan berasal dari Sabah seperti mereka yang tiba dari Semenanjung Malaysia. Seharusnya ada laluan khas kepada warga Sabah dan Labuan yang melalui terminal feri berkenaan," tambahnya.
Simsudin yang juga ketua bahagian PKR Labuan berkata pelaksanaan pemeriksaan imigresen yang masih belum lancar dan tidak sistematik itu mengakibatkan barisan panjang kenderaan dan kesesakan di Jalan Merdeka setiap hari.
"Keadaan lebih teruk adalah di terminal feri Menumbok yang menyaksikan mereka yang bekeluarga, dengan anak-anak kecil serta ibu bapa yang sudah tua terpaksa berbaris sejam lamanya bagi pemeriksaan imigresen untuk pulang ke Labuan. Kenapa perlu ada pemeriksaan imigresen sempadan kepada warga tempatan kembali ke kampung halaman sendiri," katanya.
Beliau berkata sehubungan itu satu memorandum akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri tidak lama lagi agar menterinya Datuk Seri Saifudin Nasution melihat semula pelaksanaan pemeriksaan itu, dan memorandum berkenaan akan turut melampirkan halaman salinan perjanjian berkaitan penyerahan Labuan itu agar Menteri berkenaan dapat membuat penilaian semula.
-- BERNAMA