KDN cadang RUU khusus kawal selia kebajikan pesara, bekas pegawai polis

Firdaus Azil
November 29, 2023 11:10 MYT
Akta tersebut akan menjadi punca kuasa untuk mengawal selia pesara dan bekas pegawai polis, dan menjadikan pengurusan persatuan berkaitan lebih teratur di bawah Kementerian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri bersama Polis Diraja Malaysia akan mewujudkan Rang Undang-undang Pesara dan Bekas Pegawai Polis, yang dijangka akan dibentangkan pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, akta tersebut akan menjadi punca kuasa untuk mengawal selia pesara dan bekas pegawai polis dan menjadikan pengurusan persatuan berkaitan lebih teratur di bawah Kementerian.
Selain itu, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, RUU tersebut bertujuan untuk memastikan kebajikan pesara dan bekas pegawai polis lebih terjamin di masa hadapan.
“Kerana kebajikan pesara dan bekas Pegawai Polis adalah perlu demi menjamin penyaluran peruntukan Kerajaan kepada persatuan-persatuan, dapat diselaraskan dengan lebih teratur dan berkesan berbanding hari ini. Ia juga bagi memastikan pesara polis mendapat manfaat, dan kita harap rancangan ini boleh dilaksanakan dengan sempurna, sebagaimana dibuat ATM ditadbir Jabatan Veteran Tentera Malaysia.
“Sebagai makluman, RUU ini masih di peringkat penelitian Pegawai Undang Undang KDN, dan kita jangka pada suku tahun hadapan kita akan adakan libat urus dan dibawa ke Jemaah Menteri, dan kita cadang ia dapat dibentangkan pada tahun depan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN – Jempol) yang ingin perancangan Kerajaan untuk mewujudkan akta berkaitan bagi menjaga kebajikan pesara dan bekas pegawai polis.
Terdahulu, Zahari Kechik (PN – Jeli) ingin mengetahui langkah-langkah proaktif yang dilakukan oleh pihak Kementerian untuk menjamin kebajikan pesara polis seluruh negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada negara.
Menjawab soalan tersebut, Shamsul Anuar berkata, bantuan Kerajaan kepada pesara polis, bekas polis, dan waris, meliputi beberapa bahagian termasuk – khairat kematian, pergerakan, perubatan, pendidikan, dan bencana alam.
“Semasa pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan) telah mengumumkan Bayaran Insentif RM1,000 dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
“Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024. Selain itu, dalam tahun 2023, Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 yang diterima oleh Pesara Kerajaan termasuk Pesara Polis yang menerima pencen dan tidak berpencen sebanyak RM350 pada 17 Januari 2023, dan Bantuan Khas Penghargaan Pesara Kerajaan sebanyak RM200 yang telah diterima pada 10 Ogos 2023,” katanya lagi.
#Shamsul Anuar Nasarah #Dewan Rakyat #bekas pegawai polis #Kementerian Dalam Negeri
;