KDN buat keputusan serah kembali kitab injil, CD - Wan Junaidi

Bernama
November 1, 2014 21:29 MYT
WAN JUNAIDI: Arahan untuk memulangkan buku-buku Kristian dan CD itu dibuat selari dengan keputusan Kabinet, terutamanya berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk menyerah kembali buku-buku Kristian dan cakera padat (CD) yang mengandungi perkataan, 'Allah' milik penganut Kristian di Sabah yang dirampas di Klia2, Sepang, Sabtu lepas, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Apabila semua proses pembersihan dilakukan, kitab Injil atau apa sahaja dokumen itu akan diserahkan semula kepada pemiliknya yang sah," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Siol Mountain Bike XC Challenge Dewan Bandaraya Kuching Utara di Bukit Siol, dekat sini hari ini.
Beliau berkata arahan untuk memulangkan buku-buku Kristian dan CD itu dibuat selari dengan keputusan Kabinet, terutamanya berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Menteri-menteri Kabinet telah sebulat suara menyatakan sokongan terhadap 10 perkara mengenai penggunaan 'Allah' dalam kesusasteraan Kristian dan menegaskan keperluan untuk melindungi bahan-bahan agama di Sabah dan Sarawak.
#CD #Injil #KDN #Kementerian Dalam Negeri #KLIA2 #Sabah #Wan Junaidi
;