KDN angkut 1.15 juta DVD guna 8 lori
Khairul Wasiril Aswad
Januari 29, 2013 13:41 MYT
Januari 29, 2013 13:41 MYT
Sebanyak 1.15 juta cakera padat digital (DVD) bernilai lebih RM30 juta tiba di perkarangan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan hasil operasi bersepadu yang dijalankan baru-baru ini.
Mengikut tinjauan Astro Awani , sebanyak lapan lori bermuatan lima tan digunakan bagi memindahkan kesemua DVD atau bahan bukti dalam operasi yang melibatkan 60 penguatkuasa secara keseluruhan.
Menurut Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasa KDN Cawangan Wilayah Persekutuan, Omar Mohd Bahari, rampasan dibuat lima hari lalu dari sebuah rumah dua tingkat di Jalan Manisan, Taman Bukit Indah di Seri Petaling.
Katanya ini merupakan kes terbesar buat tahun ini.
“Berlandaskan maklumat orang awam, penguatkuasa melakukan risikan selama seminggu dan mendapati rumah terbabit digunakan sebagai pusat penyimpanan DVD haram dan tidak bertapis sejak tiga tahun lalu,” kata Omar.
Jelasnya, kesemua DVD yang ditemui adalah cerita bersiri dari luar negara dan bukannya untuk dipasarkan di pasar malam, sebaliknya di kedai-kedai video.
Pihak KDN juga berpendapat sindiket yang ditumpaskan ini adalah dari rangkaian sindiket yang sama, pernah diserbu sekitar Oktober tahun lalu di Cheras yang turut menggunakan rumah sebagai lokasi penyimpanan.
Omar berkata, kesemua rampasan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan sijil perakuan B.
Sepanjang tahun ini, sebanyak lapan operasi dijalankan KDN cawangan Wilayah Persekutuan yang melibatkan rampasan sebanyak 1.4 juta DVD serta 3 tangkapan secara keseluruhan sehingga kini menurut Omar ketika ditemui di pejabatnya.