KDN akui aset PDRM usang, tidak sesuai laksana kerja menyelamat
Shuhada Abdul Kadir
Januari 14, 2022 13:44 MYT
Januari 14, 2022 13:44 MYT
SEGAMAT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat penilaian rapi berhubung keperluan mendapatkan aset baharu khusus dalam berdepan operasi menyelamat dan menghadapi bencana alam.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia susulan pihaknya menyedari aset dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin usang dan tidak sesuai digunakan dalam kerja-kerja menyelamat pada masa ini.
“Banyak aset kita bila dalam keadaan nak membantu ini baru kita sedari ianya sudah agak lama seperti bot yang digunakan selama ini sudah uzur.
“Helikopter yang kita (PDRM) ada juga agak lama yang mana aset berkenaan tiada teknologi terbaru yang menggunakan kaedah elektronik lebih canggih, sebab itu kita juga fikirkan untuk mencari aset lebih sesuai.
“Ini perkara baru yang saya kata kita kena lihat dan mesti bersedia mencari beberapa kaedah kerana apabila jadi bencana, pengajarannya apa dan bagaimana kita harus bersiap sedia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini pada Jumaat.
Beliau sebelum itu turut mengadakan lawatan ke beberapa kawasan yang terjejas banjir disekitar daerah Segamat dan Muar termasuk di Galeri Darurat Bukit Kepong.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kementerian memperuntukkan RM 250,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.
“Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju memberikan bantuan kewangan untuk baik pulih kawasan galeri bersejarah tersebut meskipun semua artifak dapat diselamatkan.
“Walaupun kerana kita sudah buat reka bentuk galeri tersebut lebih tinggi selepas mengambil kira bencana besar pada tahun 2011 lalu, namun apakah keperluan menghadapi bencana pada masa akan datang perlu diberi perhatian,” tambahnya.
Galeri berkenaan sebelum ini ditenggelami air sehingga paras kira-kira 2.5 meter dan merupakan yang terteruk sejak tahun 2011 lalu.