KDN akan tentukan klasifikasi pendakwah ekstrimis - Wan Junaidi

Astro Awani
Disember 5, 2014 17:02 MYT
WAN JUNAIDI: KDN akan tentukan klasifikasi pendakwah ekstrimis - Gambar fail
Klasifikasi syarahan yang diberi agensi atau jabatan agama dan fatwa kepada mana-mana pendakwah asing yang memberi syarahan di negara ini akan digunakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan susulan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tanggungjawab pihaknya adalah untuk menentukan sama ada individu berkenaan terlibat dengan aktiviti ekstrimis atau sebaliknya.
"Kita ada pegawai yang akan menentukan status pendakwah berkenaan selepas jabatan agama atau fatwa mengesahkan ajaran individu berkenaan salah.
"Kita pula akan menyiasat pendakwah terbabit dan memberi keputusan adakah individu berkenaan terlibat dalam isu ekstrimis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Junaidi mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mahu satu mekanisme diwujudkan bagi menapis pendakwah dari negara luar.
Ia bagi memastikan fahaman ekstrem termasuk berunsur militan tidak disebarkan di negara ini.
Jelas Wan Junaidi lagi, masyarakat juga perlu memahami portfolio kementeriannya yang berbeza dengan jabatan agama.
"Isu ajaran agama di bawah jabatan agama, isu ekstrimis di bawah kementerian kita," ujarnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan memperkenalkan Akta Anti Keganasan bagi memerangi kegiatan keganasan dan mencegah usaha merekrut sukarelawan kononnya atas nama 'jihad'.
Kata Zahid lagi, Akta Anti Keganasan yang dicadangkan penubuhannya ketika pembentangan Kertas Putih berhubung keganasan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (IS) bakal mengguna pakai acuan Akta Pencegahan Jenayah (PCA).
#ekstrimis #Junaidi #KDN #pendakwah #polis #terrorism #zahid
;