KDN akan keluarkan arahan pentadbiran berhubung kalimah Allah - Hamzah Zainudin

Hasimi Muhamad
April 15, 2021 15:52 MYT
Hamzah berkata arahan tersebut yang akan dikeluarkan secepat mungkin adalah bagi memberikan kefahaman kepada semua penganut agama di negara ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan pentadbiran terhadap penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain masing-masing solat, Baitullah dan Kaabah.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata arahan tersebut yang akan dikeluarkan secepat mungkin adalah bagi memberikan kefahaman kepada semua penganut agama di negara ini.
Jelas beliau, arahan yang dikeluarkan terpakai di bawah akta sedia ada dan akan membawa masuk undang-undang di peringkat Negeri untuk disesuaikan.
“Arahan tersebut berbentuk pentadbiran, dan kita akan lakukan ia secepat mungkin supaya tidak timbul masalah. Oleh sebab itu, kita mesti keluarkan.
“Arahan adalah sesuatu yang akan dikeluarkan dari masa ke masa mengikut akta yang sedia ada. Segala yang kita lakukan itu berbentuk pentadbiran yang dilakukan seperti biasa. Misalnya, kalau ikut Akta Mesin Cetak, kita akan akan guna akta tersebut.
“Banyak akta yang kita guna dan harus kita berikan (arahan pentadbiran). Perkara ini perlu diselesaikan supaya semua orang faham kerana ia memberi kepastian mengenai penggunaan kalimah Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Wacana Meja Bulat di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, arahan pentadbiran itu berbentuk satu arahan yang beliau yakin akan diterima oleh semua kaum.
Tegasnya, ia bertujuan untuk menyatupadukan semua kaum, dan mengelakkan sebarang perpecahan.
“Kita tidak mahu isu ini menjadi isu yang boleh memecah belah kita semua kerana yang paling penting adalah negara dan mencari jalan untuk semua hidup sejahtera.
“Maka sudah tentu toleransi patut diberikan. Toleransi ini bukan hanya untuk kaum majoriti, tetapi juga minoriti.
“Perbincangan panjang telah dilakukan dan kita tidak mahu ia menjadi satu bentuk yang subjudis kepada perkara yang dibawa oleh mahkamah,” katanya lagi.
Jelas beliau, beberapa siri libat urus telah dilakukan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk wakil agama Kristian, Hindu, Sikh, dan Buddha.

Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan arahan pentadbiran terhadap penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain masing-masing solat, Baitullah dan Kaabah. @501Awani pic.twitter.com/tB5V8yYPej

— Hasimi Muhamad (@HasimiM) April 15, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.
Kalimah Allah | Penganut Kristian boleh guna untuk tujuan mendidik
KDN dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Manakala, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pihak pencelah dalam kes rayuan kerajaan dan KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah.
#Kalimah Allah #KDN #Mahkamah Rayuan #Malaysia #Kementerian Dalam Negeri #Hamzah Zainudin
;