KDN akan bentang laporan, video operasi cegah pemerdagangan manusia ke Jabatan Negara AS - Hamzah

Fareez Azman
Ogos 4, 2022 14:20 MYT
KDN akan membentangkan laporan berserta video setiap tangkapan dan operasi mencegah jenayah pemerdagangan manusia di negara ini kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat bermula tahun ini, kata Hamzah Zainuddin. - Gambar Astro AWANI /SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan laporan berserta video setiap tangkapan dan operasi mencegah jenayah pemerdagangan manusia di negara ini kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu akan dilakukan sebagai menterjemahkan keseriusan kerajaan dalam menangani jenayah terbabit selain bukti beberapa siri kejayaan melumpuhkan sindiket rentas sempadan.
Menurut beliau, sejak berbelas tahun lalu, kerajaan sudah menyerahkan laporan, namun, kali ini pada tahun 2022, penyerahan video pula akan turut dibekalkan kepada AS.
"Mangsa-mangsa (pemerdagangan manusia) apabila kita letakkan di pusat-pusat perlindungan seperti ini (Pusat Perlindungan Wanita Zon Tengah), kita jadikannya (video) dokumentari bahawa ini adalah tugas yang kita lakukan," jelas Hamzah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita di ibu negara pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, langkah itu diambil bagi membuktikan Malaysia memenuhi standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (TVPA) AS.
"Tahun ini berapa ramai orang (suspek) kita tangkap, berapa ramai (mangsa) kita berikan kebebasan, semua itu kita lakukan memaklumkan kepada dunia.
"Kita tidak mengambil ini sesuatu mudah atau ringan, kita lakukan pencegahan untuk sentiasa melihat tidak ada buruh paksaan berlaku," tegasnya lagi.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS telah menurun taraf kedudukan Malaysia pada tahap tiga dalam laporannya.
Menurut laporan itu, kerajaan Malaysia dikatakan tidak memenuhi standard minimum TVPA 2000.
#pemerdagangan manusia #Jabatan Negara AS #KDN #Hamzah Zainuddin
;