KDCA sokong penggunaan tanah adat diperluas
Abdul Hafiz Mustadi
Februari 15, 2023 17:50 MYT
Februari 15, 2023 17:50 MYT
KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyokong agar penggunaan tanah yang berstatus Tanah Adat (NT) di negeri itu diperluaskan merangkumi aktiviti lain seperti sektor perindustrian dan pembangunan sektor perumahan.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Suman Yasambun berkata, ia selari dengan kenyataan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Jeffery Kitingan yang bersetuju agar penggunaan tanah berstatus NT di negeri itu diperluaskan.
"Kenyataan Jeffery terhadap perkara ini adalah bertepatan dan amat dialu-alukan. Ia akan memberi menfaat terutama kepada semua anak negeri di Sabah.
"Dengan ini, KDCA menyokong penuh kenyataan beliau dan berharap ianya dapat direalisasikan", ujar Suman dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Selain itu, tambahnya, isu pertukaran status tanah NT kepada 'Country Lease' (CL) yang semakin kerap berlaku di negeri itu terutamanya di kawasan bandar sejak kebelakangan ini dilihat membimbangkan.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan negeri dapat mencari kaedah terbaik dalam memastikan penggunaan komersial tanah berstatus NT di Sabah tidak menjejaskan status tanah tersebut.
"Tanah merupakan satu aset yang tidak ternilai bagi kaum anak negeri sebab ia adalah sinonim dengan identiti mereka sebagai orang asal negeri ini.
"Tanah NT juga merupakan satu legasi nenek moyang orang-orang asal negeri ini yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.
"KDCA percaya bahawa kerajaan boleh mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk memastikan status tanah adat tidak terjejas dengan perluasan pengunaan tanah tersebut seperti aktiviti komersial," tambahnya.