KDCA minta kerajaan kembalikan status bebas cukai sepenuhnya kepada Labuan

Bernama
Mac 8, 2023 04:13 MYT
Peter berkata pengembalian status bebas cukai sepenuhnya akan mengaktifkan semula ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Labuan. - Foto Facebook Labuan Port Authority
LABUAN: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menggesa kerajaan mengembalikan status pulau bebas cukai sepenuhnya kepada Labuan bagi meningkatkan pembangunan ekonominya.
Ahli Majlis Tertinggi KDCA, Peter Pikul berkata ekonomi Labuan cergas pada masa lalu, ditambah pula dengan status bebas cukai yang merupakan antara tarikan utama pulau itu.
"Bukan sahaja ekonomi rancak tetapi terdapat juga banyak peluang pekerjaan yang tersedia dan lebih mudah untuk menjalankan perniagaan dulu.
"Apabila cukai dikenakan terhadap barangan tertentu, daya tarikan Labuan kelihatan terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Peter yang juga bekas Pengerusi KDCA Labuan berkata pengembalian status bebas cukai sepenuhnya akan mengaktifkan semula ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Labuan.
Untuk rekod, kerajaan telah menyenaraikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan dikenakan bercukai di semua pulau bebas cukai termasuk Labuan sejak 1 Januari, 2021.
Sementara itu, berkongsi sentimen rakan-rakan beliau di Labuan, Peter yakin bahawa membina jambatan untuk menghubungkan Labuan dan Sabah akan membawa pelbagai manfaat kepada pulau itu dan kawasan sekitarnya.
"Jambatan itu pasti akan menyediakan mod pengangkutan yang lebih mudah dan pantas untuk orang ramai dan barangan kerana ketika ini Labuan hanya boleh diakses melalui udara dan laut.
"Sehingga kini, kebanyakan perniagaan di Labuan bergantung kepada perkhidmatan feri 'roll-on/roll-off' (Ro-Ro) sebagai pengangkutan mereka kerana ia secara relatifnya lebih murah tetapi ia mengambil masa terlalu lama dan tidak kos efektif," katanya.
Peter berkata jambatan akan lebih menjimatkan untuk perniagaan beroperasi dan berkembang, pengguna dan rakyat biasa akan mendapat manfaat.
"Ini adalah tanggungjawab penting kerajaan dan tadbir urus yang baik," katanya.
Peter berkata jambatan itu juga akan meningkatkan jumlah pelancong ke Labuan kerana ia akan menjadikan pulau tersebut lebih mudah diakses oleh pengunjung dengan lebih banyak pilihan dan kemudahan.
"Sejak akhir-akhir ini, wujud pertikaian secara berterusan berhubung keperluan jambatan Labuan-Sabah. Saya berharap pihak berkuasa mendengar suara rakyat mahukan pembinaan jambatan itu, ia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan terhadap rakyat dan dorongan positif untuk meningkatkan ekonomi bukan sahaja Labuan tetapi juga kawasan sekitarnya," katanya.
-- BERNAMA
#Labuan #KDCA #bebas cukai #pengangkutan
;