KD Pendekar karam: Mindef tunggu laporan penuh - Khaled

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 26, 2024 13:27 MYT
Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Program Lawatan ke Tapak Projek Knowledge Transfer Programme (KPT) Ternakan Kelulut di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Sedili Kecil hari ini. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang menunggu laporan penuh insiden kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, di sini pada Ahad.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal terbabit sudah berusia hampir 50 tahun dan telah beroperasi sejak tahun 1979.
"Satu siasatan telah dimulakan untuk kita memahami apakah punca-puncanya (karam), tetapi satu lagi perkara, kapal-kapal ini memang kapal-kapal lama beroperasi, kalau tidak silap saya 1979, sudah dekat 50 tahun.
"Kita tidak menafikan bahawa usia usia kapal-kapal kita yang telah terlalu lama tetapi itu mungkin bukan antara punca, puncanya seperti yang dikatakan dia terlanggar objek jadi yang ini sedang dibuat kajian dan yang penting syukur tidak libatkan korban nyawa.
"Atas sebab itu sekarang ini kerajaan sedang usaha gigih hendak pastikan kapal baharu yang sedang kita bina itu dapat disiapkan ikut jadual, disamping kita beli kapal-kapal yang baharu dan proses ini akan kita teruskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ditemui selepas lawatan ke Tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini hari ini.
Justeru itu, Mohamed Khaled memaklumkan kementeriannya akan membuat pemeriksaan terhadap satu pertiga kapal milik TLDM yang berusia lebih 40 tahun.
"Kita akan pastikan diteliti betul-betul lebih lebih lagi kapal yang berusia lebih daripada 40 tahun. Terdapat satu pertiga kapal kita sangat lama usianya. Satu pertiga anggaran 10 hingga 15 buah kapal.
"Kita juga sedang membina Kapal Tempur Pesisir (LCS), dan dalam proses pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) dari Turkiye.
"Kapal LCS pertama akan beroperasi pada tahun 2026, kita ada lima kapal LCS, insya-Allah setiap tahun ada satu kapal LCS. Untuk LMS pada bulan Oktober, November dan Disember tahun 2027," katanya.
KD Pendekar terlanggar objek, 39 kru selamat
Semalam, TLDM mengesahkan kapal miliknya iaitu KD Pendekar tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang.
TLDM menerusi kenyataan, memaklumkan usaha untuk menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.
"Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya. Tiada kecederaan dilaporkan.
"Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor.
"Aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, TLDM memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika kapal berkenaan melaksanakan penugasan operasi yang dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.
#KD Pendekar karam #kapal tldm tenggelam #Mohamed Khaled Nordin #Kementerian Pertahanan #LCS
;