KD Lekir dalam RIMPAC bukti daya tahan aset TLDM
Bernama
September 3, 2022 05:00 MYT
September 3, 2022 05:00 MYT
MANJUNG: Penyertaan Kapal Diraja (KD) Lekir dalam Eksesais Rim Of The Pasific (RIMPAC) 2022 di Honolulu, Hawaii, membuktikan daya tahan dan kesiapsiagaan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis, berkata kemampuan KD Lekir mengharungi cabaran pelayaran serta melaksanakan setiap siri latihan sepanjang eksesais tanpa gagal adalah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh kesemua warga TLDM.
"Kapal ini (KD Lekir) sudah berusia 40 tahun namun dalam usia sebegini masih gagah mengharungi lautan terbuka selama 62 hari dengan jarak menghampiri separuh daripada ukuran lilitan dunia sepanjang penugasan eksesais.
"Sepanjang fasa latihan di laut, KD Lekir telah berlayar selama 24 hari dengan melaksanakan ulang bekal minyak bersama-sama dengan kapal pembekal dari negara sahabat tanpa menghadapi sebarang kerosakan dan masalah besar sepanjang pelayaran," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyambut ketibaan KD Lekir yang akan berlabuh di Tambatan Pangkalan TLDM Lumut, di sini semalam.
Abu Bakar berkata kesemua siri latihan termasuk latihan penembakan berjaya dijalankan melalui kerjasama antara kesemua negara terlibat dalam eksesais itu.
"Latihan kali ini membuktikan kejayaan pertama kapal TLDM melaksanakan penembakan peluru berpandu Exocet MM 40 Block II di luar perairan Malaysia.
"Sudah pasti ia pencapaian membanggakan buat warga TLDM kerana ia memberikan banyak nilai tambah kepada keanggotaan KD Lekiu sebagai wakil negara dalam latihan berskala besar merangkumi latihan pelbagai dimensi dan spektrum peperangan," katanya.
Menurutnya, kejayaan KD Lekir itu juga membuktikan kesiagaan Armada TLDM melalui Program MidcLife Upgrade KD Lekir yang telah dilaksanakan pada tahun 2009 bagi memastikan jangka masa perkhidmatan kapal itu mampu dilanjutkan sehingga tahun 2030.
"Semua pengalaman serta cabaran yang mengujakan dapat diaplikasikan dalam operasi seharian di Malaysia dengan dapatan kepada teknik baharu yang dipelajari sepanjang latihan dijalankan," katanya.
RIMPAC 2022 bermula 29 Jun hingga 4 Ogos lalu dilaksanakan di sekitar kepulauan Hawaii dan selatan California yang merupakan eksesais ke-28 dalam siri yang bermula pada 1971.
Selepas dua minggu di pelabuhan, peserta RIMPAC keluar untuk latihan di laut selama 22 hari mulai 11 Julai yang melibatkan 38 kapal, empat kapal selam dan lebih 170 pesawat milik 26 negara.
-- BERNAMA