KBS tiada bidang kuasa campur urusan BAM - Timbalan Menteri

Umavathi Ramayah
Mac 2, 2022 03:54 MYT
Ti Lian Ker berharap, agar persatuan-persatuan sukan kebangsaan memperhalusi dan memperkemaskan kedudukan perjanjian antara atlet, penaja dan pihak-pihak berkaitan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran mahupun dasar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melainkan isu berkenaan dipanjangkan kepada KBS menerusi Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM), kata Datuk Seri Ti Lian Ker.
Timbalan Menterinya itu memberitahu, namun KBS sedar akan isu yang melibatkan dua pemain negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang mengambil keputusan untuk bermain secara bersendirian dan di luar naungan BAM telah mencuri perhatian peminat sukan badminton dalam dan luar negara.
"KBS bersama BAM sebenarnya mempunyai perancangan jangka panjang dan rapi untuk mewujudkan kecemerlangan atlet sukan serta memerlukan pelaburan yang besar dan komitmen tinggi bagi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.
"Pelaburan ini meliputi komitmen kerajaan, peranan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan juga kesinambungan penajaan dalam memastikan program pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga antarabangsa dapat dirancang dan dilaksanakan dengan baik,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi soalan yang dibangkitkan oleh William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta KBS untuk menyatakan alasan BAM menghalang pemain daripada bergerak secara profesional, termasuk melarang mereka daripada menyertai kejohanan antarabangsa dan langkah yang diambil untuk membetulkan tindakan itu.
Mengulas lanjut Lian Ker menjelasakan, atlet yang membuat keputusan untuk bergerak bersendirian atau secara profesional dan mengenepikan komitmen akan menjejaskan matlamat badan sukan berkenaan dan perancangan awalan untuk atlet serta pasukan.
"Ini akan memberi kesan besar serta membawa implikasi kepada PSK, di mana ia mewujudkan konflik antara badan sukan, pasukan atlet dan juga penaja. Malah, badan sukan berkenaan juga berkemungkinan akan diambil tindakan undang-undang disebabkan perjanjiannya telah dimeterai dengan mengambil kira kehadiran atlet yang dikenal pasti dalam program sukan berkenaan.
“Bagaimanapun, langkah penyelesaian telah ditemui BAM untuk atlet yang berhasrat untuk melangkah ke dunia profesional dengan keputusan memberikan pelepasan kepada atlet yang berhasrat untuk bergerak secara profesional.
“Penyelesaian juga dengan menarik balik penggantungan pemain profesional dan memberikan kebenaran untuk atlet bertanding di kejohanan atau temasya antarabangsa,” ujarnya.
Justeru Lian Ker berharap, agar persatuan-persatuan sukan kebangsaan memperhalusi dan memperkemaskan kedudukan perjanjian antara atlet, penaja dan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kepentingan dan kesinambungan sukan negara dapat diberi keutamaan selaras dengan perkembangan kerjaya dan keperluan atlet.
#Kementerian Belia dan Sukan #BAM #Dewan Rakyat #Lee Zii Jia