KBS serah kepada pihak berkuasa siasat kes rogol pemain bola

Sinar Harian
Jun 2, 2022 16:55 MYT
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes pemain bola sepak liga tempatan yang didakwa merogol remaja berusia 18 tahun, di Kelantan, Ahad lepas.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui, belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai kes berkenaan walaupun beliau difahamkan laporan polis telah dibuat oleh mangsa baru-baru ini.
"Jika berlaku kesalahan (pelaku harus) didakwa, jika tidak bersalah harap dapat dibela dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Nicol David Organisation (NDO) di sini pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan suspek seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu selepas mangsa yang berusia 18 tahun membuat laporan polis.
Sementara itu, Ahmad Faizal tetap bangga dengan pencapaian skuad hoki lelaki kebangsaan walaupun tumpas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi final Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia, malam tadi.
Beliau berharap agar skuad The Speedy Tigers dapat berlatih bersungguh-sungguh dan yakin mereka mampu melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia 2023 di India, Januari depan.
Mengenai aksi skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 semalam, beliau ternyata berpuas hati dengan corak permainan mantap ditonjolkan anak buah Kim Pan Gon.
Ahmad Faizal juga percaya Pan Gon mempunyai ramuan tersendiri bagi memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2023 apabila dijadual bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam saingan kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengucapkan tahniah kepada jaguh dan legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David atas kejayaannya mengasaskan NDO bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes.
#Ahmad Faizal Azumu #Kementerian Belia dan Sukan #pemain bola #kes rogol
;