KBS sasar tingkatkan penyertaan wanita dalam sukan negara - Syed Saddiq

Asyraf Roslan
Februari 24, 2019 06:33 MYT
Syed Saddiq merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Wanita PERTAMA 2019 di Bukit Jalil - Gambar Astro AWANI/Asyraf Roslan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan kertas kerja bagi menarik lebih ramai pembabitan golongan wanita dalam bidang sukan.
KBS menurut Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memandang serius perkara itu berikutan penyertaan wanita secara aktif dalam bidang sukan di negara ini ketika ini, jauh lebih rendah, berbanding lelaki.
"Ini satu kerugian kepada negara, kerana KBS percaya ramai wanita mempunyai bakat dan potensi tinggi dalam bidang sukan, namun berdepan kekangan, seperti halangan keluarga serta kurangnya pendedahan mengenai bidang sukan yang sesuai mereka ceburi.
“Kertas kerja itu, antara lain akan menggariskan bagaimana kita boleh melibatkan lebih ramai golongan wanita dalam bidang sukan, tidak kira bangsa dan agama.
"Ini sangat penting supaya maanfaat sukan ini dapat dirasai oleh semua,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Wanita PERTAMA 2019 di sini pada Ahad.
Justeru, Syed Saddiq berharap media massa akan memainkan peranan lebih aktif dan penting untuk memberikan liputan lebih meluas serta pendedahan dalam usaha menarik lebih ramai golongan wanita untuk menyertai bidang sukan.
"Mereka mungkin berminat, tetapi kekurangan liputan membuatkan mereka agak sukar untuk menyertainya," katanya lagi.
#atlet #Bukit Jalil #KBS #Media #menteri #Menteri Belia dan Sukan #sukan #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #wanita
;