KBS rancang anjur maraton di Kelantan tahun depan - Khairy Jamaluddin

Muhafandi Muhamad
Ogos 22, 2015 17:40 MYT
Kelantan menjadi destinasi jelajah ke-10 FitMalaysia tahun ini selepas utara dan selatan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berhasrat menganjurkan acara maraton tahunan bertaraf dunia di Kelantan bermula tahun depan.
Penganjuran maraton tersebut akan dimuatkan dalam kalendar pelancongan negara dan diharap dapat menjadikan Kelantan sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.
Cadangan dibuat berdasarkan sambutan luar jangka penduduk negeri tersebut terhadap acara sukan termasuk acara FitMalaysia yang berlangsung di Kelantan hari ini.
"Memandangkan FitMalaysia mendapat pendaftaran sebanyak 11,000 orang kita dapati sangat sesuai bagi penganjuran maraton antarabangsa Kelantan.
"Kita buat persiapan tahun awal tahun depan kita akan buat acara pertama dan boleh jadi acara tahunan yang bukan sahaja untuk rakyat Kelantan tapi meletakkan Kelantan sebagai satu destinasi pelancongan sukan peringkat antarabangsa bagi pelari maraton," jelas Khairy yang ditemui selepas melancarkan acara FitMalaysia peringkat Kelantan.
Kelantan menjadi destinasi jelajah ke-10 FitMalaysia tahun ini selepas utara dan selatan.
Acara sehari itu menerima sambutan luar jangka, dan disifatkan Khairy sebagai penanda aras amalan gaya hidup sihat yang semakin dapat perhatian.
"Saya rasa kesedaran untuk bersukan itu meningkat dengan adanya FitMalaysia dan penggalakkan untuk bersukan dan gaya hidup sihat dan dengan kita memerangi segala penyakit jantung dan sebagainya.
"Ada kesedaran di kalangan anak muda dan ini sangat bagus dan kalau kita lihat hari ini anak muda dengan telefon bimbit apakah kita nak lahirkan anak muda yang tak cergas? Ini adalah satu perkembangan yang positif," kata Khairy.
Penganjuran FitMalaysia adalah sebahagian acara sukan sebelum kemuncak sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Oktober depan.
#fitmalaysia #Kelantan #kesihatan #Khairy Jamaluddin #Menteri Belia dan Sukan
;