KBS perkenal program tingkat kecergasan
Bernama
Julai 4, 2013 23:35 MYT
Julai 4, 2013 23:35 MYT
'Gym Makes Me Fit & Healthy' merupakan program khas yang akan dimulakan bagi meningkat kesedaran, kecergasan, tahap kesihatan dan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.
Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin berkata sebagai permulaan, program itu akan dimulakan di Gym 1Malaysia KBS dengan melibatkan 200 peserta di seluruh negara, masing-masing 20 peserta dari setiap negeri kecuali Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan.
Beliau berkata program itu mengambil konsep 'The Biggest Loser' yang disiarkan di stesen televisyen negara luar, namun fokus utamanya bukan untuk mengurangkan berat badan tetapi lebih kepada peningkatan tahap kecergasan dan kesihatan.
"Program ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan konsep kepimpinan melalui teladan dan kita minta orang ramai menjadi cergas, jadi kita mulakan dengan warga KBS dulu.
"Ianya lain sedikit daripada The Biggest Losers, kerana fokus utama kita bukan nak kurangkan berat badan, tetapi elemen itu merupakan sebahagian daripada program berkenaan. Program ini lebih menumpukan kepada kecergasan fizikal," katanya pada sidang media berhubung pelancaran program 'Gym Makes Me Fit & Healthy 2013' di sini Khamis
Khairy berkata proses pemilihan 200 peserta untuk program itu telah selesai dan ia akan berlangsung selama empat bulan bermula bulan ini hingga November.
Katanya para peserta akan menjalani Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan terlebih dahulu pada awal dan akhir program.
Beliau berkata program tersebut meliputi teori dan praktikal yang modulnya turut meliputi ceramah Asas Kecergasan Secara Menyeluruh, Asas Senaman, Amalan Pemakanan Sihat dan Merangka Program Latihan selaian latihan fizikal sebanyak tiga hingga empat kali seminggu yang dipantau oleh para pakar.
Menurutnya kementerian lain boleh mencontohi program itu bagi meningkatkan tahap kecergasan, produktiviti, daya tahan dan daya saing warga kerja mereka.
"Program seumpana ini diyakini memberi motivasi kepada rakyat untuk bergiat aktif dalam aktiviti dan program kecergasan dan seterusnya mengamalkan budaya sukan dalam kehidupan seharian mereka," kata Khairy.
Program tersebut anjuran Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Kelab Gimnasium Rakyat Menara BKS dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia.