KBS komited selesai isu peringkat akar umbi dengan kerajaan negeri - Hannah
Fareez Azman
Januari 17, 2023 15:23 MYT
Januari 17, 2023 15:23 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited menyelesaikan isu-isu yang berlaku di peringkat akar umbi menerusi kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, fokus ketika ini adalah mengenai pembangunan belia dan sukan negara menerusi lebih banyak kerjasama dengan kerajaan negeri, menerusi Mesyuarat Penyelarasan EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri.
"Ini adalah kali pertama mesyuarat ini diadakan sejak tahun 2018 apabila dipengerusikan bekas Menteri KBS YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Jadi, dah lama kita tak ada mesyuarat bersama exco kerajaan negeri.
"Mesyuarat ini bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu semasa belia dan sukan di peringkat akar umbi serta cadangan tindakan untuk meningkatkan pembangunan belia dan sukan. Kita nak koordinasi dan penyelarasan berlaku," katanya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, kerjasama semua pihak amat penting dalam pembangunan belia dan sukan meskipun terdapat perbezaan politik.
"Portfolio kita belia dan sukan adalah portfolio yang tidak boleh dipolitikkan, kerana ini berkenaan masa depan dan nama Malaysia.
"Oleh itu kita akan adakan lebih banyak engagement seperti ini bersama kerajaan negeri," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan EXCO Pembangunan Belia Dan Sukan Negeri di KBS pada Selasa.
Antara yang hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfren Angin serta 12 Exco Kerajaan Negeri.