KBS harap siasatan insiden serangan terhadap pemain bola sepak diselesaikan
Bernama
Mei 17, 2024 20:15 MYT
Mei 17, 2024 20:15 MYT
KANGAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap siasatan berkaitan insiden serangan melibatkan tiga pemain bola sepak negara baru-baru ini dapat diselesaikan secepat mungkin, kata Menterinya Hannah Yeoh.
Beliau berkata KBS sangat bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan pihak polis khususnya dalam mengenal pasti motif di sebalik insiden itu demi melindungi keselamatan atlet negara.
"Bukan KBS yang boleh nyatakan bahawa ini kes apa kerana siasatan bukan dilakukan oleh KBS. Kita bergantung sangat kepada pihak polis dan dalam usaha untuk melindungi atlet negara kerana mereka adalah aset negara, saya minta IGP (Ketua Polis Negara) untuk pastikan siasatan berjalan dengan cepat.
"Ini supaya kita boleh ambil tindakan cepat kerana saya percaya ramai yang sedang menunggu hasil siasatan tersebut," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja meninjau projek naik taraf Stadium Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada KBS mengadakan pertemuan dengan persatuan sukan bagi membincangkan soal keselamatan atlet terutama yang akan mengambil bahagian di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Hannah KBS telah memperkenalkan Kod Sukan Selamat sejak tahun lepas yang merupakan garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat serta peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani gangguan serta penderaan dalam sukan.
"Tetapi dalam isu untuk pastikan keselamatan, menjamin keselamatan itu adalah tanggungjawab polis. Itu sebab kita minta kerjasama Kementerian Dalam Negeri untuk pastikan atlet kita dijaga dengan baik.
"Kita nak pastikan persatuan sukan juga mengambil berat (keselamatan) atlet mereka dan untuk atlet yang akan bertanding seperti bola sepak, saya tahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meminta mereka perketatkan lagi keselamatan," katanya.
Sementara itu, Hannah berkata projek naik taraf Stadium Tuanku Syed Putra yang membabitkan kos RM7.63 juta telah siap 100 peratus dan dijangka dapat dimanfaatkan untuk penganjuran pelbagai aktiviti sukan.
"...selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk kita fokus tiga jenis sukan iaitu olahraga, renang dan sukan tempur, saya berharap dengan adanya fasiliti ini khususnya trek balapan, atlet olahraga Perlis akan menggunakannya dengan baik," katanya.
-- BERNAMA