KBS gesa MKN, KKM pertimbang buka semula gimnasium - Menteri

Astro Awani
September 8, 2021 07:19 MYT
Ahmad Faizal Azumu diiringi Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi beramah mesra dengan orang ramai yang menunggu giliran untuk menerima vaksin di PPV Pandu Lalu OKU Sentral, Johor Bahru hari ini. - Gambar BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa pembukaan semula gimnasium dan sukan padang selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada industri kreatif berkuat kuasa Khamis ini.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengoperasian semula gimnasium bukan sahaja dapat membantu operator malah jurulatih di seluruh negara yang terjejas pendapatannya akibat wabak COVID-19 juga boleh kembali bekerja.
Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kebenaran dapat diberikan dengan SOP yang ketat.
Ahmad Faizal juga memberitahu, agenda pembukaan semula gimnasium akan juga diusul oleh beliau kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.
“Kita mengharapkan sokongan daripada pihak-pihak lain untuk memungkinkan operator-operator gimnasium di seluruh negara dapat bernafas, perniagaan mereka perlu dibuka semula dan kita faham kita sedang menjalani satu wabak yang begitu mengancam kehidupan kita.
“Tetapi kita ingin mengesyorkan kepada pihak MKN dan KKM untuk memberi kebenaran melalui satu SOP yang ketat… kita tak boleh buka sewenang-wenangnya tetapi SOP yang diketat perlu diadakan,” kata Ahmad Faizal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Arena Larkin di sini, pada Rabu.
PPV pandu lalu OKU Sentral mula beroperasi pada 25 Ogos lalu dan merupakan PPV terbesar di malaysia dan dunia.
Setakat ini, seramai 4,588 OKU, warga emas dan penjaga OKU telah menerima dos pertama vaksin dan akan beroperasi sehingga 3 Oktober ini dengan jangkaan memberi vaksin dos lengkap lebih 7,000 individu.
#gimnasium #pembukaan semula gimnasium #sukan padang #KKM #MKN #Kementerian Belia dan Sukan #Ahmad Faizal Azumu