KBS berjaya laksanakan 114 usaha persediaan Undi 18
Bernama
Disember 17, 2021 05:02 MYT
Disember 17, 2021 05:02 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjaya melaksanakan 114 program dalam usaha memperkasakan golongan muda sebagai persediaan kerajaan ke arah melaksanakan undi 18 tahun.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata inisiatif yang melibatkan 60,522 orang peserta itu adalah kerjasama KBS bersama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) yang melaksanakan pelbagai program di bawah program Rukun Negara@Belia (RNB) di 17 Kem Wawasan Negara di seluruh negara.
"Pelbagai program untuk mendidik pengundi baharu dilaksanakan di bawah program Rukun Negara@Belia (RNB) dalam usaha memberi pendedahan kepada golongan muda tentang sistem demokrasi berparlimen.
"Antaranya program khusus latihan advokasi literasi pengundi muda dan literasi demokrasi iaitu latihan terperinci proses pilihan raya berlaku, dan proses melihat serta menilai kertas undi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 di sini pada Jumaat.
MFLS menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan dalaman dan luaran berimpak tinggi.
MFLS Tier 1 melibatkan proses saringan bagi memilih peserta yang layak ke peringkat Tier 2 bagi mengikuti program MFLS selama 10 hari manakala MFLS Tier 3 pula adalah pelaksanaan konsep pengantarabangsaan belia yang berlangsung selama dua bulan.
-- BERNAMA