KBS akan promosikan Askar Wataniah

Bernama
Julai 1, 2014 19:52 MYT
Askar Wataniah akan dipromosi untuk golongan belia - Gambar fail
Kementerian Belia dan Sukan akan mempromosikan Askar Wataniah bagi menggalakkan golongan belia menyertai pasukan itu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pasukan itu tidak menjadi pilihan anak muda kerana tidak mendapat publisiti secukupnya.
"Perkara tersebut saya akan bincangkan dengan Kementerian Pertahanan mengenai cara menarik minat anak muda menyertai pasukan itu.
"Saya buat semua ini kerana mahu lebih ramai anak muda kita menceburi bidang itu untuk menjadi Askar Sukarela Wataniah dan bagi saya ia adalah pengorbanan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah di Kementah, di sini.
Khairy yang ditauliahkan pangkat Kolonel Askar Wataniah berkata, maklumat dan penerangan mengenai pasukan itu perlu diperbaiki dan diperluaskan lagi menerusi media sosial.
"Selain itu, kerajaan perlu menetapkan satu latihan yang fleksibel sebab bukan semua orang boleh cuti selama sebulan untuk menjalani latihan Askar Wataniah, jadi perkara tersebut harus dibincangkan dengan bahagian pasukan simpanan," katanya.
Beliau berkata Askar Wataniah perlu dipopularkan kerana banyak persaingan dan kini ramai anak muda yang menyertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Pada majlis sama, Khairy dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron adalah antara lima orang yang dipakaikan pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah.
Khairy dipakaikan pangkat sebagai Kolonel (kehormat) dalam pasukan sukarela Askar Wataniah manakala Idris pula memakai pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat).
Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Holdings, Tan Sri Shahril Shamsuddin pula ditauliahkan pangkat Brigedier Jeneral (kehormat); Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar masing-masing dipakaikan pangkat Kolonel (kehormat).
Majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Kelima-lima mereka sebelum ini telah ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan pangkat masing-masing.
#askar #KBS #KHAIRY #Wataniah
;