KBBM bantu lonjakan ekonomi negara, rangsang pendapatan usahawan

Haikal Raman
November 30, 2020 15:55 MYT
KBBM 2020 akan berlangsung sehingga akhir tahun ini dengan slogan #barangbaikbarangkita.
KUALA LUMPUR: “Meskipun penularan pandemik COVID-19 mengehadkan kuasa beli pengguna selain membataskan peluang masyarakat untuk keluar membeli-belah, inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagaimanapun dilihat berkesan dalam memudahkan akses capaian pengusaha produk tempatan kepada masyarakat,”.
Demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Hana Medic Sdn. Bhd. Dr. Noraryati Abd Majid ketika ditanya Astro AWANI mengenai manfaat serta keberkesanan pelaksanaan KBBM oleh kerajaan ketika ini.
KBBM yang digerakkan sejak Julai sehingga akhir tahun ini merupakan langkah kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha memberi lonjakan berterusan bagi memperkasakan ekonomi negara serta ransangan pendapatan usahawan tempatan.
Noraryati berkata, kesan daripada isu pandemik ini trend masyarakat kini lebih mementingkan harga yang murah berbanding kualiti ditambah pula kuasa beli pengguna semakin berkurang, namun mereka mungkin kurang sedar tentang produk tempatan dan beranggapan produk luar negara adalah lebih baik.
Justeru itu, usaha dijalankan kerajaan menerusi KBBM ini turut mampu menjadi platform terbaik kepada syarikat tempatan bagi memajukan produk buatan Malaysia, selain menggalakkan usahawan dan pengilang tempatan agar terus menghasilkan produk bermutu tinggi.
Perkara ini sekali gus dapat menarik minat lebih ramai pengguna domestik untuk berbelanja bagi barangan buatan Malaysia di samping terus menggalakkan usahawan dalam menawarkan promosi lebih kreatif serta pengiklanan menarik.
Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM1.8 bilion jualan direkodkan bagi segmen runcit utama dan dalam talian sepanjang tempoh kempen dilaksanakan.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd., Fatihah Anis Ibrahim berpendapat bahawa KBBM berjaya menggalakkan sokongan terhadap barangan buatan Malaysia dan pengguna lebih memilih untuk mendapatkan produk tempatan dengan harga yang berpatutan.
“Pelaksanaan kempen ini memberi impak besar kepada rangkaian produk tempatan, malah permintaan tinggi dan tidak putus-putus memberi isyarat bahawa produk tempatan adalah bermutu tinggi serta berdaya saing di dalam pasaran.
“Dengan adanya KBBM ini, kami terima sambutan luar biasa dan jenama FATIHAH kini lebih dikenali ramai,” ujarnya.
Menyentuh berkaitan rantaian bekalan, Pengasas dan Pengarah Zayyan Sdn. Bhd., Rodzita Md Desa menyifatkan melalui inisiatif seperti ini lebih banyak pasar raya kini lebih terbuka dalam menerima produk-produk tempatan untuk dipamer serta dijual kepada pengguna.
“Meskipun jenama pakaian Zayyan masih belum menembusi mana-mana pasar raya, namun saya yakin pihak pengurusan pasar raya kini lebih terbuka untuk menerima produk buatan tempatan.
“Sekiranya KBBM tidak dijalankan atau dihentikan, saya percaya jenama-jenama tempatan akan terpaksa bergelut untuk berdiri sendiri ditambah pula dengan cabaran saingan dengan produk luar negara,” jelasnya.
Pengurus Pemasaran (Sosial Media) Merolz Beauty, Adinda Zhara turut mengutarakan berpendapat sama bahawa pasaran tempatan kini semakin yakin dan memberi peluang kepada produk tempatan untuk berada sebaris dan diletakkan di rak-rak dengan barangan terkemuka/ antarabangsa.
“Jenama Merolz berada sebaris dengan jenama terkenal seperti GARNIER dan SAFI, malah produk kami kini dipasarkan di seluruh TESCO Malaysia, LULU Hypermarket, Pasaraya SABASUN Terengganu dan juga kini berada di platform jualan online WATSONS.
Sementara itu, Pengasas JEIWA Global Resources, Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata, kerjasama strategik antara kementerian dan usahawan tempatan seperti ini menjadikan produk buatan Malaysia mendapat pengiktirafan, pendedahan serta peluang untuk menembusi pasaran lebih luas.
Beliau turut berharap agar kempen seperti ini diteruskan sepanjang tahun dan diadakan mengikut tema.
“Misalnya jika musim perayaan, kita boleh ketengahkan produk premium kerana pengguna sanggup berbelanja lebih, namun jika musim biasa kerajaan boleh beri tumpuan kepada produk barangan pengguna cepat laris (FMCG).
“Jadi tindakannya lebih menyeluruh, yang mana setiap sektor di Malaysia mendapat manfaat daripada kempen-kempen dilaksanakan kementerian,” katanya.
Bagi melengkapkan pelaksanaan KBBM, KPDNHEP turut menganjurkan Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 secara serentak sebagai salah satu inisiatif menyeluruh bagi memulih serta merancakkan sektor peruncitan di dalam negara.
Inisiatif KBBM dan KJM 2020 dilihat mampu meningkatkan permintaan domestik, khususnya untuk memulihkan ekonomi negara akibat daripada penularan COVID-19.
#Astro #Astro Awani #COVID-19 #pandemik #KBBM #KempenBeliBaranganMalaysia #fmcg #KPDNHEP #HanaMedic #FatihahFrozenFood #ButikZayyan #MerolzBeauty #JEIWA #JEIWAGlobalResources
;